Info Terkini :

Info Pasukan Terengganu

Info Pasukan T-Team

Info Bola Sepak Malaysia

Skuad Penyu Sasar Kelompok Tiga Terbaik

PENGENDALI skuad Penyu, Abdul Rahman Ibrahim meletakkan sasaran awal untuk berada dalam kelompok tiga terbaik kempen Liga Malaysia (Liga M) musim ini, sebelum merealisasikan hasrat kerajaan negeri membawa pulang sekurang-kurangnya satu piala ke bumi Terengganu.

Menurutnya, keputusan itu dilihat lebih realistik kerana jika sasaran terlalu tinggi, ia berkemungkinan bukan sahaja akan memberi  tekanan malah menjadi  satu beban yang perlu dipikul oleh pemain sekali gus mampu mengganggu prestasi permainan mereka.

“Saya tidak mahu perkara seumpama ini membelenggu pemain, apa yang penting kita lihat dulu persembahan mereka. Jadi sekiranya kita memberi sasaran munasabah, maka mudah kita beri rangsangan kepada pemain.

“Kita akui semua pasukan termasuk  Terengganu mahukan piala, tetapi ia bukan sesuatu yang senang kerana kita juga perlu melihat kekuatan pasukan lain seperti Johor Darul Ta'zim (JDT), Pahang, Felda United dan Kelantan,” katanya, semalam.
Mengulas lanjut kariernya selaku ketua jurulatih sejak 30 tahun lalu, Abdul Rahman tidak menolak kemungkinan musim ini musim terakhir sebagai jurulatih dan mengharapkan dapat akhirinya dengan satu kejayaan.

“Mungkin sudah tiba masanya buat diri saya dalam arena ini. Jadi, kita tengoklah macam mana keadaan kerana bagi saya kepuasan hanya hadir apabila kita meraih sesuatu kejayaan,” katanya.

Dalam pada itu, bekas pengendali kem kebangsaan itu mengakui sasaran awal tersebut, dia yakin anak buahnya mampu bekerja keras merealisasikannya.

Katanya, tugas utamanya ketika ini adalah terus memantapkan pasukan dan ia terserah kepada pemain mencapai kejayaan. - SINAR HARIAN

Terengganu Naik RM5 Harga Tiket Liga Malaysia 2015

KUALA TERENGGANU: Persatuan Bola Sepak Negeri Terengganu (PBSNT) akan menaikkan sebanyak RM5 harga tiket bagi kejohanan Liga Malaysia.

Setiausaha PBSNT Arpin Draman berkata keputusan itu diambil memandangkan harga tiket sudah lama tidak dinaikkan sedangkan kos pengurusan semakin meningkat.

Oleh itu harga tiket bagi tempat terbuka kini berharga RM15, tempat berbumbung berharga RM25 sementara bagi kanak-kanak 12 tahun ke bawah, harganya RM5.
Beliau berkata pas bermusim bagi tempat duduk terbuka RM200 dan bagi kelab penyokong RM180.

Memandangkan Stadium Gong Badak dijangka siap pertengahan tahun ini, kemungkinan aksi Liga Malaysia akan berpindah ke sana dalam bulan Jun atau Julai, katanya.

Arpin berkata Menteri Besar Datuk Ahmad Razif Abdul Rahman akan memperkenalkan pemain Terengganu dan T-Team di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah pada Sabtu ini sempena perlawanan persahabatan antara kedua-dua pasukan. - BERNAMA

Status Pemain Kebangsaan Bukan Jaminan Skuad Utama

KUALA TERENGGANU: Dua pemain Harimau Malaya Abdul Manaf Mamat dan Muhammad Zubir Mohd Azmi mengakui status sebagai pemain kebangsaan bukan jaminan untuk diturunkan dalam kesebelasan utama pasukan Terengganu bagi menghadapi Liga Malaysia musim ini.

Justeru, kedua-dua pemain berkenaan yang memperkuatkan cabaran Harimau Malaya pada saingan Piala AFF Suzuki penghujung tahun lepas, bertekad menampilkan aksi mantap agar dapat memikat jurulatih Abdul Rahman Ibrahim untuk diserapkan dalam kesebelasan utama Terengganu.

Sebagai penyerang, Abdul Manaf, 28, berkata beliau terpaksa bersaing dengan dua penyerang import iaitu Paulo Rangel dari Brazil serta pemain kelahiran Lubnan, Hassan Chaito.

Abdul Manaf berkata beliau akan berusaha mempamerkan prestasi terbaik untuk menempatkan diri dalam kesebelasan utama dan selebihnya bergantung kepada perancangan Abdul Rahman sama ada mahu menggunakan khidmatnya atau tidak.

"Pasukan Terengganu kini berada di landasan terbaik walaupun saya baru beberapa hari menyertai pasukan ini (selepas mewakili Harimau Malaya pada Piala AFF Suzuki).
"Saya berharap pada musim ini pasukan Terengganu berada pada kedudukan lebih baik berbanding musim lepas," katanya ketika ditemui Bernama di sini.

Abdul Manaf turut meletakkan sasaran peribadi musim ini untuk menjaringkan lebih banyak gol bagi membantu Terengganu memperbaiki kedudukan dalam Liga Super.

"Bagaimanapun, saya perlu lebih banyak menjalani latihan dan berharap dalam tempoh satu dua minggu lagi tahap kecergasan saya akan kembali seperti biasa," katanya.

Bagi Muhammad Zubir, 24, beliau enggan mendabik dada walaupun sering diturunkan sebagai kesebelasan utama untuk pasukan Harimau Malaya pada saingan Piala AFF Suzuki lepas.

"Terserah kepada jurulatih (untuk memilih pemain). Sebagai pemain, kita akan cuba sebaik mungkin untuk meyakinkan mereka. Saya lihat ramai pemain baharu pasukan Terengganu boleh bermain di posisi saya sekarang (pertahanan kiri) termasuk Khairul (Rosmadi)," katanya.

Terengganu akan memulakan saingan Liga Super 2015 berdepan Selangor di Kuala Terengganu pada 7 Feb. - BERNAMA

Paulo Rangel Mengganas Cipta Hatrik Aksi Pra-Musim

PERSIAPAN skuad Terengganu menghadapi Liga Malaysia 2015 berjalan lancar apabila membenam Lions X11 3-1 pada aksi pra musim di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah kelmarin.

Pada pertemuan itu, hatrik menerusi Paulo Rangel sudah cukup menggembirakan peminat setia Peteh yang sebelum ini gelisah dengan ketumpulan jentera di barisan serangan pasukan.

Kehadiran Rangel bersama seorang lagi penyerang import kelahiran Lubnan, Hassan Chaito juga tidak mengecewakan dengan banyak gerakan berbahaya dicipta sepanjang permainan.

Pengendalinya, Abdul Rahman Ibrahim, kelihatan puas dan tersenyum melihat gandingan pemain berkenaan dan percaya Terengganu bakal muncul pasukan pencabar yang perlu diberi perhatian musim ini.

"Saya puas hati dan ada banyak perubahan di bahagian serangan menerusi kombinasi Rangel dan Chaito.
"Chaito seorang pemain yang sangat taktikal dan mempunyai kemahiran tinggi. Dia ada keupayaan dari segi pergerakan.

"Walaupun kurang bertenaga disebabkan baru pulih daripada kecederaan, saya yakin dalam masa dua atau tiga minggu ini, dia dapat baraksi selama 90 minit,” katanya.

Sementara itu, dia juga memuji barisan tempatan, Mohd Ashaari Shamsuddin dan Ismail Faruqi Asha’ari yang acap kali mencemaskan gawang lawan menerusi percubaan berbahaya mereka.

Katanya lagi, tempo perlawanan Terengganu harus digandakan dan membayangkan akan melakukan sedikit rombakan kecil dalam pasukan menjelang perlawanan pembuka tirai Liga Super menentang Selangor di laman sendiri 7 Februari depan. - SINAR HARIAN

PBSNT & KAFA Bersama Bantu Mangsa Banjir

HULU TERENGGANU – Bagi memban­tu mangsa-mangsa yang terjejas teruk akibat banjir di negeri ini dan Kelantan, Persatuan Bola Sepak Ne­geri Terengganu (PBSNT) dan Per­satuan Bola Sepak Kelantan (KAFA) bersepakat mengadakan perlawanan amal antara Terengganu menentang Kelantan, bulan depan.

Timbalan Presiden PBSNT, Marzuki Sulong berkata, perlawanan yang dijadual berlangsung di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah di sini pada 13 Januari merupakan sebahagian daripada pendekatan badan sukan itu untuk bersama-sama meringankan bebanan mangsa.

“Kita prihatin dengan nasib mangsa-mangsa banjir terutama di Kelantan dan Terengganu, jadi kita sepakat untuk mengadakan perlawanan amal bagi mengumpul dana.

“Kutipan dari perlawanan amal ini akan dibahagi dua (Terengganu dan Kelantan) sebelum disalurkan untuk membantu mangsa banjir di dua negeri ini,” katanya kepada pemberita selepas majlis penyampaian sumbangan bantuan kepada mangsa banjir di Kampung Bukit Gemuroh di sini, semalam.
Dalam majlis itu, pengurusan skuad Penyu turut menyalurkan sumbangan berupa barangan keperluan serta wang tunai kepada 50 mangsa banjir kawasan berkenaan.

Menurut Marzuki, perlawanan itu nanti dijangka menarik tumpuan penonton berdasarkan kedua-dua pasukan bersedia menurunkan kesebelasan pemain utama masing-masing.

Beliau menjelaskan, bagi menyaksikan perlawanan itu, pihaknya akan mengenakan tiket berharga RM15 untuk tempat terbuka dan RM20 bagi yang berbumbung.

“Pada perlawanan amal itu nanti, kita juga akan sediakan tabung bencana banjir dan usaha ini diharapkan mendapat sokongan para penyokong kedua-dua pasukan,” ujarnya. - UTUSAN

Live Streaming TV9

Siaran Langsung penyiaran ini di ambil hasil carian daripada google daripada blog yang menyediakan siaran ini, bukan berasal daripada pihak kami, kami hanya berkongsi siaran ini, jika aktiviti ini tidak menyenangkan atau tidak dibenarkan, sila emailkan kepada FATerengganu@gmail.com , pihak kami akan membuangnya serta merta, terima kasih.

Sila REFRESH jika tiada siaran

Pemain Import Skuad Penyu Buat Hal ?

Kuala Terengganu: Adakah Persatuan Bolasepak Negeri Terengganu (PBSNT) sudah ‘dimainkan’ pemain import baru mereka, Gustavo Lopez?

Itu persoalan yang timbul apabila hingga kini pemain tengah kelahiran Argentina itu masih belum menyelesaikan Sijil Perpindahan Antarabangsa (ITC) dengan bekas majikannya, Arema Crounos FC.

Malah, PBSNT juga ‘ditipu’ pemain berusia 28 tahun itu yang mendakwa dia bebas daripada mana-mana ejen dan mungkin perlu mengeluarkan belanja lebih besar bagi mendapatkan ITC bagi membolehkannya beraksi dalam Liga M musim depan.

Setiausaha Agung PBSNT Arpin Draman berkata, masalah itu begitu membimbangkan kerana tarikh pendaftaran pemain Liga M akan berakhir hari ini, namun Lopez masih belum menyelesaikan masalah ITC.

Menurutnya, ketika menandatangani kontrak dua bulan lalu, pihaknya sudah bertanyakan mengenai ejen. Bagaimanapun pemain itu mendakwa dia tidak diwakili mana-mana ejen.
“Tapi, kami dapati ejennya di Indonesia Felix Ndukwe mengemukakan surat aduan berhubung tindakan Lopez yang mengetepikan haknya kepada Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM).

“Selepas kami mendengar aduan itu, kami meminta Lopez menyelesaikan isu ini dan hingga kini masih gagal mendapatkan ITC diperlukan itu,” katanya semalam.

Sementara itu, Ndukwe berkata, beliau hanya mempertahankan haknya selaku ejen Lopez mengikut surat kuasa diberikan kepadanya yang berakhir hujung Oktober lalu.
Menurutnya, beliau masih ejen Lopez yang sah ketika menandatangani kontrak bersama Terengganu.

“Sebenarnya saya yang memulakan usaha ini (kontrak) bersama ketua jurulatih Terengganu, Abdul Rahman Ibrahim. Saya juga memiliki bukti kukuh menerusi e-mel dan tidak faham mengapa saya diketepikan.

“Saya akan mengadakan perbincangan dan mempertimbangkan sebarang tawaran yang akan dikemukakan PBSNT dalam pertemuan hari ini,” katanya. - Harian Metro

Hassan Chaito Isi Slot Import Asia Skuad Penyu

Kuala Terengganu: Selepas mengikat pemain kelahiran Argentina Gustavo Lopez, skuad Penyu menyambar pemain kebangsaan Lubnan Hassan Chaito untuk menghadapi Liga Malaysia (Liga M), musim depan.

Kehadiran pemain berusia 25 tahun yang boleh beraksi di posisi tengah dan serangan itu, sekali gus melengkapkan kuota pemain import Asia.

Setiausaha Agung Persatuan Bolasepak Negeri Terengganu Arpin Draman berkata, pemain itu sudah berada di negeri ini sejak beberapa hari lalu untuk menjalani ujian kesihatan.
Menurutnya, pihaknya akan menandatangani kontrak dengan bekas pemain Ah-Shabab itu dalam tempoh terdekat ini.

“Kami bersetuju mengikat Hassan bagi menggantikan Mario Karlovic (Australia) yang kontraknya tidak disambung.
“Ketika ini kami sedang menunggu laporan perubatan sebelum mengikat kontrak,” katanya di sini, semalam.

Beliau berkata, pemain itu pernah mewakili Al-Ahed pada 2009 hingga 2013, Al-Ansar (2013-2014) dan terakhir bersama Al-Shabab.

Menurutnya, pihaknya berharap Hassan mampu menyinar dan menjadi nadi kepada pasukan bimbingan Abdul Rahman Ibrahim dalam Liga M nanti. - Harian Metro

Live Streaming TV3

Siaran Langsung penyiaran ini di ambil hasil carian daripada google daripada blog yang menyediakan siaran ini, bukan berasal daripada pihak kami, kami hanya berkongsi siaran ini, jika aktiviti ini tidak menyenangkan atau tidak dibenarkan, sila emailkan kepada FATerengganu@gmail.com , pihak kami akan membuangnya serta merta, terima kasih.
Sila REFRESH jika tiada siaran

Skuad Penyu Lantik Jurulatih Taktikal

Persatuan Bola Sepak Negeri Terengganu (PBSNT) bakal melantik jurulatih taktikal sebagai persiapan menghadapi liga Malaysia musim hadapan.

Presiden PBSNT, Datuk Wan Ahmad Nizam Wan Abdul Hamid berkata jurulatih taktikal akan mengendalikan dari segi taktikal pasukan dan juga merupakan pembantu kepada ketua jurulatih, Abdul Rahman Ibrahim.

“Buat masa sekarang, empat nama telah disenarai pendekkan dan salah seorang daipada nama-nama ini merupakan jurulatih tempatan.

“Kita memerlukan jurulatih taktikal untuk membantu Abdul Rahman dalam menyerapkan teknik-teknik baru untuk pasukan Terengganu”, katanya.

Beliau ditemui di sidang media selepas mesyuarat Ahli Jawatankuasa PBSNT di Wisma Seri Amar semalam.

Dalam majlis sama, Wan Ahmad Nizam turut memperkenalkan beberapa pemain yang bakal bermain dengan pasukan Terengganu.

“Empat pemain baru yang turut akan beraksi dalam pasukan Terengganu merupakan Mohd Khairul Rosmadi, Mohd Radhi Mohd Yusof, Muhammad Hafizal Mohamad dan Muhammad Shahrin Sapien bagi menggantikan Mazlizam Muhammad, Faiz Subri, Norhakim Hassan dan Norfarhan Muhammad yang tidak lagi bermain untuk Terengganu.

“Bagi pemain import, kita mempunyai tiga nama dan hanya akan memilih dua orang sahaja. Ketiga-tiga pemain tersebut merupakan dari Brazil, Nigeria dan Lubnan,” ujarnya.

Wan Ahmad Nizam menyasarkan sekurang-kurangnya satu piala bagi musim hadapan. - Teganuku

Senarai Pemain Pasukan Terengganu Musim 2015


TERENGGANU kehilangan empat tonggak utama bagi mengharungi saingan Liga Malaysia (Liga M) musim depan.

Empat pemain terbabit ialah Norfarhan Mohamad, Mohd. Faiz Subri, Mazlizam Mohamad dan Mohd. Nor Hakim Hassan.

Norfarhan dilaporkan kembali menyertai Kelantan manakala Faiz dan Mazlizam berkemungkinan menyertai Pulau Pinang.

Mohd. Nor Hakim dikatakan bakal menyarung jersi pasukan kelab, T-Team secara pinjaman.

Bagi mengisi kekosongan tersebut, tiga pemain Piala Presiden Terengganu iaitu Mohd. Khairull Rosmadi, Mohd. Radhi Mohd. Yusof dan Mohd. Hafizal Mohamad telah dipanggil bersama seorang pemain daripada skuad Piala Presiden T-Team, Mohd. Sharin Sapien untuk memperkukuhkan pasukan.

Presiden Persatuan Bola Sepak Negeri Terengganu (PBSNT), Datuk Wan Ahmad Nizam Wan Abdul Hamid berkata, keputusan yang dibuat oleh Jawatankuasa Pemilihan Pemain (JPP) itu sekali gus menepis dakwaan segelintir pihak termasuk peminat bahawa ramai pemain tonggak utama akan meninggalkan skuad Penyu musim depan.

Katanya, mereka termasuklah dua pemain kebangsaan, Abdul Manaf Mamat dan Mohd. Zubir Azmi.

“Bagi kouta pemain import pula, dua pemain telah dikenal pasti iaitu tonggak pertahanan dari Cameroon, Vincent Bikana yang akan menyarung jersi Terengganu untuk musim ketiga.

“Seorang lagi pemain import yang pernah beraksi bersama kelab Arema Cronous dalam saingan Liga Indonesia iaitu Gustavo Fabian Lopez juga akan menyertai Terengganu,” katanya dalam satu sidang akhbar di pejabatnya di Kuala Terengganu, semalam.

Wan Ahmad Nizam memberitahu, pihaknya sedang mencari dua lagi pemain import untuk mengisi posisi serangan dalam usaha memperkemaskan jentera serangan pasukan dari pantai timur itu.

Katanya, JPP telah menyenarai pendek tiga pemain dari Brazil, Nigeria dan Lebanon untuk mengisi kekosongan tersebut.

“Pasukan Terengganu turut mengintai beberapa pemain tempatan untuk diserapkan dalam pasukan tetapi kebanyakannya tidak mendapat lampu hijau daripada majikan mereka untuk beraksi bersama skuad Penyu musim depan.

“Ketika ini, kita hanya ada satu kekosongan untuk pemain tempatan iaitu di bahagian serangan. Bagaimanapun, setakat ini, ia masih belum diisi,” katanya.

Beliau turut mengumumkan bahawa Terengganu akan melantik seorang jurulatih taktikal yang akan diletakkan di bawah pengurusan PBSNT bagi membantu memperkemaskan taktikal pasukan kendalian Abdul Rahman Ibrahim itu. - kosmo

Galeri Video

Live Streaming

Pencapaian

 

web statistics
Sports ExactSeek: Relevant Web Search My Zimbio Top  blogs My Ping in TotalPing.com
© Copyright Skuad Bola Sepak Negeri Terengganu 2013 -2014 | Design by Hamba Allah.