Info Terkini :

Terengganu Juara Piala FA 2011

Terengganu mengakhiri penantian selama 11 tahun untuk menjulang Piala FA selepas menumpaskan Kelantan 2-1 pada perlawanan akhir yang menarik di Stadium Nasional, Bukit Jalil, Sabtu.

Ahmad Nordin Alias menjadi wira Terengganu apabila menjaringkan gol penentuan pada masa tambahan setelah kedua-dua pasukan terikat 1-1 selepas tempoh 90 minit berakhir.

Kali terakhir Terengganu menjulang trofi itu ialah pada 2000 setelah menewaskan Pulau Pinang melalui sepakan penalti 5-3 apabila kedudukan terikat 1-1 setelah tamat masa tambahan.

Pasukan 'peteh ganu peteh' turut mencatat sejarah tersendiri apabila menjadi penjulang terakhir trofi yang diperkenalkan pada 2005 itu, yang sempat digunakan untuk tujuh edisi. Trofi baru akan diperkenalkan untuk edisi musim depan.

Sebelum ini, Perak selaku juara final pertama dan terakhir diberi penghormatan menyimpan trofi pertama Piala FA yang digunakan bagi 15 edisi dari 1990 hingga 2004.

Hampir 85,000 penonton menyaksikan pertembungan dua gergasi dari Pantai Timur ini.

Skuad 'Red Warriors' mendahului pada minit-79 menerusi Mohd Nurul Azwan Roya.

Tertekan dengan jaringan itu, Terengganu mengatur serangan demi serangan memaksa Kelantan bertahan, dan hasilnya skuad Penyu memperolehi gol penyamaan pada masa kecederaan hasil kesilapan pemain pertahanan 'Red Warriors' yang tertanduk bola ke gawang sendiri.

Kedudukan itu mengheret perlawanan ke masa tambahan, sebelum Terengganu menamatkan impian Kelantan untuk bergelar juara FA buat kali pertama menerusi jaringan Ahmad Nordin.

Penyampaian trofi disempurnakan Yang di-Pertuan Agong Tuanku Mizan Zainal Abidin yang berkenan berangkat ke perlawanan itu.

Ketua pasukan Terengganu Mohd Mazuki Yusof pula dipilih sebagai pemain terbaik perlawanan akhir.

Turut berangkat ke perlawanan itu ialah Sultan Kelantan Tengku Muhammad Faris Petra Sultan Ismail Petra. Hadir sama Menteri Belia dan Sukan Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek, Timbalan Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Tengku Mahkota Pahang Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah, Menteri Besar Terengganu Datuk Seri Ahmad Said dan Menteri Besar Kelantan Datuk Nik Aziz Nik Mat.
Share this article :
Share this Article on :
PERINGATAN: SkuadPenyu.Blogspot.Com tidak bertanggungjawab terhadap komentar/pandangan yang diutarakan melalui laman sosial/weblog ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.
Comments
0 Comments
 

web statistics
Sports ExactSeek: Relevant Web Search My Zimbio Top  blogs My Ping in TotalPing.com
© Copyright Skuad Bola Sepak Negeri Terengganu 2013 -2014 | Design by Hamba Allah.