Info Terkini :

Khairy Minta Usah Salahkan FAM

Kuala Lumpur: Jangan melenting dan salahkan FAM (Persatuan Bolasepak Malaysia)!

Itu permintaan Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar susulan siasatan rasuah yang dijalankan membabitkan badan induk bola sepak negara itu, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM).

“Kita berpegang kepada prinsip tidak bersalah sehingga dibuktikan sebaliknya. Tapi janganlah kalau ada laporan yang syak sesebuah pasukan atau negeri yang terbabit dalam rasuah, bookie atau mengatur perlawanan, saya berharap mereka jangan melenting dan salahkan FAM. Kita kena tegas dalam menangani perkara ini, beri peluang kepada SPRM dan PDRM buat siasatan.

“Jangan salahkan proses yang dijalankan kerana kita memberikan reaksi balas terhadap kekhuatiran orang ramai yang mengatakan gejala ini sudah berleluasa. Jadi bila tindakan diambil, jangan kata ini tindakan untuk menganiayai mana-mana negeri. (Mereka) tidak bersalah sehingga terbukti sebaliknya tetapi pada masa yang sama kita perlu tegas jika mahu mengatasi gejala ini, kita perlu memberi sokongan kepada FAM dan persatuan negeri untuk serah kepada SPRM dan PDRM untuk menyiasat semua aduan dibuat,” katanya.

Menurut Khairy, pihaknya sentiasa menyokong tindakan FAM membabitkan perkara ini kerana beliau sendiri meminta supaya jawatankuasa integriti terutamanya di peringkat negeri dapat memainkan peranan yang aktif.

Isu membabitkan rasuah kembali hangat diperkatakan apabila Persatuan Bolasepak Perak (PAFA) baru-baru ini bertindak menggantung keseluruhan pegawai pasukan dan pemain selama dua minggu apabila mengesyaki berlakunya unsur rasuah dan sabotaj selepas tewas 1-6 kepada Sarawak pada 21 September lalu dalam saingan peringkat kumpulan Piala Malaysia dengan siasatan membabitkan SPRM.

Terbaru, Sarawak dilaporkan turut tidak akan terlepas dan disiasat jika terbabit dalam gejala mengatur perlawanan.

Perkembangan berkenaan menyebabkan Persatuan Bolasepak Sarawak (FAS) dan penyokongnya berang dan tidak berpuas hati terhadap FAM.

Isu rasuah pernah melumpuhkan bola sepak negara pada 1994 dengan lebih 100 pemain didapati terbabit dalam gejala tidak sihat itu. - Sumber
Share this article :
Share this Article on :
PERINGATAN: SkuadPenyu.Blogspot.Com tidak bertanggungjawab terhadap komentar/pandangan yang diutarakan melalui laman sosial/weblog ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.
Comments
0 Comments
 

web statistics
Sports ExactSeek: Relevant Web Search My Zimbio Top  blogs My Ping in TotalPing.com
© Copyright Skuad Bola Sepak Negeri Terengganu 2013 -2014 | Design by Hamba Allah.