Info Terkini :

Terengganu Bentuk Pasukan Mantap 2015

Wan Ahmad Nizam (kiri) menyampaikan cenderamata berupa jersi pasukan Terengganu kepada Ahmad Razif pada majlis ramah mesra bersama pegawai dan pemain skuad Penyu.
MESKIPUN kempen Piala Malaysia belum melabuhkan tirainya, namun Kerajaan Negeri Terengganu menggesa Persatuan Bola Sepak Negeri Terengganu (PBSNT) membuat persiapan lebih rapi bagi menghadapi saingan Liga Malaysia (Liga M) musim depan.

Menteri Besar, Datuk Ahmad Razif Abd Rahman berkata, pihaknya mahu pasukan Terengganu dibentuk dengan lebih mantap terutamanya dalam mencari pemain import berkualiti, khususnya di bahagian serangan berbanding musim ini yang dilihat kurang menyengat.

Menurutnya, usaha itu bersesuaian dengan hasrat kerajaan negeri yang mahu menjadikan skuad Penyu lebih digeruni dan menjadi pesaing utama kepada pasukan lain dalam Liga M tahun depan.

“Kita ambil pendekatan awal ini selepas melihat kedua-dua pasukan dari negeri ini, Terengganu dan T-Team masih belum meraih sebarang kejayaan pada musim ini. Sebab itu, untuk musim depan kita ingin fokus pada satu pasukan saja supaya mereka dapat melakar kejayaan musim depan.

“Bagaimanapun ini tidak bermakna kita mengetepikan T-Team, tetapi ia disebabkan kita lihat agak sukar untuk menempatkan dua pasukan negeri dalam saingan bola sepak tempatan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas majlis ramah mesra bersama pegawai dan pemain Terengganu dekat sini, kelmarin.

Hadir sama, Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan dan Sumber Manusia negeri, Datuk Rozi Mamat dan Presiden PBSNT, Datuk Wan Ahmad Nizam Wan Abdul Hamid.

Dalam pada itu, mengulas mengenai kedudukan T-Team, Ahmad Razif berkata, pihaknya berhasrat menjadikan pasukan ‘adik’ itu sebagai platform mencungkil bakat muda untuk diserapkan ke dalam pasukan utama Terengganu.

Katanya, perkara itu sudah dimaklumkan Rozi supaya T-Team menggunakan tenaga tempatan sepenuhnya dalam saingan Liga Premier musim depan.

“Selain itu, kita akan turun padang ke semua daerah melalui kejohanan yang diadakan dari semasa ke masa bagi mencungkil bakat tempatan untuk diketengahkan mewakili jersi pasukan ini, " katanya. - Sinar Harian
Share this article :
Share this Article on :
PERINGATAN: SkuadPenyu.Blogspot.Com tidak bertanggungjawab terhadap komentar/pandangan yang diutarakan melalui laman sosial/weblog ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.
Comments
0 Comments
 

web statistics
Sports ExactSeek: Relevant Web Search My Zimbio Top  blogs My Ping in TotalPing.com
© Copyright Skuad Bola Sepak Negeri Terengganu 2013 -2014 | Design by Hamba Allah.