Info Terkini :

T-Team Titans Mahu Tebus Kekalahan

SELEPAS diaibkan Polis Diraja Malaysia (PDRM), 1-4 dalam aksi ketiga kumpulan D saingan Piala Malaysia, Sabtu lalu, T-Team tekad mahu menebus kekalahan itu ketika menerima kunjungan juara Liga Perdana di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, malam nanti.

Biarpun menyedari kedudukan skuad The Titans itu dilihat sedikit sukar untuk melepasi saingan peringkat kumpulan, namun  Ketua Pegawai Eksekutifnya, Ab Rasid Jusoh masih menaruh keyakinan T-Team mampu bangkit meraih kemenangan.

Justeru, beliau menuntut skuad kendalian Anuar Abu Bakar itu segera melupakan kekalahan tempoh hari dan kembali fokus dalam memburu slot ke pusingan seterusnya dengan melakarkan kejayaan khususnya baki tiga perlawanan ini.

Menurutnya, kem T-Team masih mempunyai masa untuk mencuri peluang itu dengan syarat pemain perlu membuktikan kesungguhan mereka pada pertemuan penting malam ini.

“Buat masa sekarang kita sudah tidak boleh hilang mata lagi dalam baki tiga perlawanan ini. Kita perlu lakukan kejutan dan saya yakin pemain mampu melakukannya.

“Kita sudah melihat bagaimana corak permainan Sang Saka Biru dan saya harap pemain dapat ambil pengajaran pada perlawanan itu serta mampu menebus semula kekalahan  di tempat sendiri nanti,” katanya di sini, semalam.

Dalam pada itu, Ab Rasid yang juga penolong pengurus pasukan turut menaruh kepercayaan terhadap kemampuan pengendali baharu pasukan, Anuar Abu Bakar dan kesungguhan pemain T-Team  untuk bangkit semula dalam melakarkan kemenangan nanti.

Katanya, apa yang penting pasukan perlu mempertajamkan lagi jentera serangan selain memperkukuhkan semula  benteng pertahanan daripada dibolosi pasukan lawan. - Sinar Harian

The Titans ibarat harimau terluka

PENYERANG Polis Diraja Malaysia (PDRM), Bobby Gonzales menyifatkan T-Team ibarat harimau terluka yang bersedia membaham pasukannya pada pertemuan kedua di Stadium Sultan Nasiruddin Shah malam ini selepas lawan mengalami kekalahan 1-4 pada perlawanan Kumpulan D, Sabtu lalu.

Namun itu bukan bermakna pemain skuad Sang Saka Biru itu ‘kecut perut’ kebangkitan ingin dicipta The Titans yang dipimpin jurulatih, Anuar Abu Bakar itu sebaliknya Boby yakin mereka mampu mengulangi kejayaan sama berdasarkan keyakinan pemain yang kini memang berada di peringkat terbaik selepas menewaskan lawan tempoh hari.

“Saya tahu T-Team pasti lebih bahaya selepas kalah kepada PDRM dalam perlawanan sebelum ini. Mereka pasti akan mengubah strategi.

“Tapi kami akan bermain dengan kekuatan yang ada dan tidak memandang rendah pasukan lawan. Kami sedar mereka berpeluang mencipta kejayaan kali ini tapi menasihatkan mereka jangan terlalu yakin sebaliknya bermain seperti biasa.

“Yang penting PDRM akan turun beraksi dengan sikap ingin menang,” katanya.

Pada masa sama, pemain berusia 30 tahun itu turut berharap momentum persembahan terbaik pemain dapat dikekalkan dalam pertemuan itu biarpun kini sudah boleh menarik nafas lega kerana hanya selangkah ke pusingan suku akhir.

Boby berkata, beliau tidak mahu rakan sepasukannya mendabik dada dan leka dengan prestasi sedia ada sebaliknya terus berusaha mengekalkan rekod tanpa kalah dalam peringkat kumpulan.

"Kita tetap turun dengan misi tiga mata walaupun keputusan seri sudah cukup melayakkan PDRM ke suku akhir.

"Kami mahu menang untuk mengekalkan perkara positif dalam pasukan untuk persiapan menghadapi aksi seterusnya,” ujarnya. - Sinar Harian
Share this article :
Share this Article on :
PERINGATAN: SkuadPenyu.Blogspot.Com tidak bertanggungjawab terhadap komentar/pandangan yang diutarakan melalui laman sosial/weblog ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.
Comments
0 Comments
 

web statistics
Sports ExactSeek: Relevant Web Search My Zimbio Top  blogs My Ping in TotalPing.com
© Copyright Skuad Bola Sepak Negeri Terengganu 2013 -2014 | Design by Hamba Allah.