Info Terkini :

Norfarhan Sedia Curah Pengalaman Sukan Asia

KUALA LUMPUR - Seperti diberikan peluang kedua, penyerang Terengganu dan Harimau Malaya, Mohd. Norfarhan Muhammad sedia mencurahkan pengalaman jika Datuk Ong Kim Swee menyenaraikannya sebagai salah seorang daripada tiga pemain senior di dalam skuad Bawah 23 tahun negara ke Sukan Asia 2014 Incheon.

Pernah merasai pengalaman pahit iaitu tewas semua perlawanan ketika membantu pasukan negara di Sukan Asia 2006 Doha semasa di bawah bimbingan Norizan Bakar, Norfarhan menganggap ini kesempatan terbaik menebus segala kekecewaan yang dialami pada lapan tahun lalu.

Ujarnya, dia melihat potensi besar yang ada pada skuad Bawah 23 tahun negara kali ini dan dia berasa satu penghargaan untuk membimbing para pemain muda negara beraksi di pentas tertinggi.

"Sampai sekarang, saya belum dimaklumkan apa-apa dari Kim Swee mengenai Sukan Asia dan saya cuma tahu pun melalui dada-dada akhbar yang dia ada senaraikan nama saya.

"Jika benar, saya dengan lapang dada bersedia memberikan segalanya kepada pasukan bola sepak di Sukan Asia kerana saya ada pengalaman bermain di Sukan Asia 2006 Doha untuk membantu saya bimbing pemain-pemain muda dan ini satu peluang melupakan kekecewaan saya alami semasa di Doha iaitu tewas dalam semua perlawanan di peringkat kumpulan.

"Pemain muda ada kudrat namun kelebihan yang dimiliki pemain senior adalah kekuatan mental dan psikologi, ini memberi keseimbangan di dalam satu pasukan dan kedua-duanya memerlukan antara satu sama lain, " katanya ketika dihubungi, semalam.

Mengenai undian, Norfarhan tidak melihat itu sesuatu yang terlalu difikirkan oleh setiap pemain malah dia mempertaruhkan keyakinan terhadap kemampuan Kim Swee untuk membawa pasukan Bawah 23 tahun negara melepasi saingan peringkat kumpulan.

Bukan mahu berasa terlalu yakin, Norfarhan melihat Kim Swee mempunyai kredibiliti tersendiri dalam soal taktikal dan sudah masak dengan corak para pemain Bawah 23 tahun.

"Semua orang memperkatakan undian kumpulan kita agak susah sebab ada Korea Selatan dan Arab Saudi, cuma mereka tidak nampak kelebihan yang ada pada Kim Swee.

"Kim Swee sudah lama bersama pasukan Harimau Muda A dan dan kenal setiap pemain yang pernah berada di bawahnya, saya yakin kita boleh melangkah jauh walaupun diletakkan sekumpulan dengan dua pasukan pilihan, " katanya. - Utusan
Share this article :
Share this Article on :
PERINGATAN: SkuadPenyu.Blogspot.Com tidak bertanggungjawab terhadap komentar/pandangan yang diutarakan melalui laman sosial/weblog ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.
Comments
0 Comments
 

web statistics
Sports ExactSeek: Relevant Web Search My Zimbio Top  blogs My Ping in TotalPing.com
© Copyright Skuad Bola Sepak Negeri Terengganu 2013 -2014 | Design by Hamba Allah.