Info Terkini :

Terengganu Tetap Gah Dengan Khidmat Anak Jati

Kuala Terengganu: Tindakan bijak pengendali Terengganu Abdul Rahman Ibrahim menurunkan dua penyerang tempatan, Mohd Nor Farhan Muhamad dan Abdul Manaf Mamat sepanjang 90 minit nyata membuahkan hasil apabila skuad Penyu merakam kemenangan 2-1 ke atas Perak, malam kelmarin.

Dua penyerang import yang dibawa masuk ketika jendela kedua perpindahan pemain, Moustapha Dabo dari Senegal dan Andres Estupinan (Colombia) langsung tidak diturunkan berikutan prestasi tidak konsisten biarpun Estupinan tersenarai dalam barisan pemain simpanan.

“Kita ketepikan dua penyerang import itu kerana ada sedikit kekurangan dari segi penyudah dan tidak konsisten. Hal ini menyebabkan kita meletakkan dua pemain tempatan untuk menghidupkan jentera serangan.

“Strategi ini nyata berhasil. Aksi dua pemain kebangsaan itu tidak mengecewakan apabila menghasilkan jaringan pada setiap babak sekali gus kita berjaya mengutip tiga mata untuk bersaing dalam kumpulan,” katanya.

Selain itu, jurulatih berusia 68 tahun itu turut mengakui taktikal yang dirancang menjadi pemangkin kejayaan pasukannya meskipun banyak peluang keemasan untuk menghasilkan jaringan lebih banyak, tidak dapat disudahkan dengan baik.

Abdul Rahman juga tidak menolak kejayaan menumpaskan Kedah minggu lalu menjadi pembakar semangat pemain yang beraksi dengan baik dan tersusun.

Katanya, kehadiran penonton yang begitu ramai juga turut mendorong pemain beraksi dengan lebih baik dalam misi mengutip tiga mata untuk berada dalam dua pasukan terbaik setiap kumpulan untuk layak ke suku akhir.


“Secara keseluruhannya saya puas hati tahap permainan pemain biarpun menang tipis dan mengharapkan pada pertemuan pusingan kedua bertemu lawan sama di Stadium Perak, 27 Ogos ini, pemain mampu menterjemahkan dengan kemenangan,” katanya. - Harian Metro

Terengganu tetap gagah tanpa import

TANPA kelibat pemain import, Terengganu tetap sukar dijinakkan. Mereka membuktikannya malam kelmarin apabila meraih tiga mata penuh pada aksi menentang Perak saingan peringkat Kumpulan B kempen Piala Malaysia 2014 di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, Kuala Terengganu.

Pada perlawanan tersebut, Terengganu menang 2-1.

Jurulatih, Abdul Rahman memberitahu skuad bimbingannya tampil dengan aksi terbaik walaupun turun tanpa khidmat dua tonggak import.

"Saya rasa pada perlawanan malam ini (kelmarin) kita bermain dengan baik dengan pendekatan taktikal serangan yang membanggakan.

"Kita mengambil risiko menggunakan khidmat pemain tempatan di bahagian serangan. Bagaimanapun, jentera serangan tidak menghampakan apabila berjaya mencipta beberapa peluang untuk menghasilkan jaringan," katanya.

Dia mengakui bahawa tanpa membariskan pemain import di bahagian serangan, mungkin menyukarkan mereka untuk merobek gawang lawan, tetapi sebaliknya yang berlaku.

Begitupun, dia memberitahu, selepas dua perlawanan tanpa kelibat pemain import pasukan berjaya meraih kemenangan.

"Bagi saya, apa yang penting ialah mentaliti para pemain kerana kalau kita lihat di penghujung perlawanan tadi, bukan kita sahaja yang kepenatan tetapi pasukan pelawat juga mengalami masalah sama.

"Pada perlawanan pusingan kedua nanti, kita mungkin tidak mampu untuk mengambil pendekatan dengan menurunkan khidmat pemain tempatan di bahagian serangan," kata Abdul Rahman.

Menurutnya, walaupun jentera serangan import kurang memberi impak, tetapi mereka mempunyai fizikal dan kekuatan yang diperlukan dalam saingan Piala Malaysia.

"Justeru, kita akan melihat dalam masa terdekat keadaan mereka. Saya tidak kata mereka ini tidak bagus tetapi sejak akhir-akhir ini masih terdapat sedikit kekurangan.

"Kita harap dengan suntikan semangat yang kita berikan kepada mereka sebelum ini, ia akan memberikan sedikit keyakinan kepada mereka untuk kembali beraksi."

Sementara itu, pengarah teknikal skuad The Boss Gaurus, Divaldo da Silva Teixeira Alves mengakui hasrat mereka untuk meraih sekurang-kurangnya satu mata tidak kesampaian.

Dia menyifatkan faktor kepenatan menjadi punca pasukannya gagal memanfaatkan beberapa peluang terhidang sepanjang 90 minit permainan tersebut.

"Kemenangan ke atas Kedah dan Sarawak tempoh hari menjadi suntikan semangat buat pasukan tetapi kita terpaksa akur dengan kekalahan ini.

"Saya menganggap rezeki tidak memihak kepada Perak. Terengganu juga bermain dengan baik dan mereka berhak menang," katanya.

Katanya, pasukan akan segera memperbaiki beberapa kelemahan untuk terus bangkit gagah dalam kempen Piala Malaysia tahun ini.

Pada perlawanan malam kelmarin, Terengganu memperoleh jaringan mereka menerusi Abdul Manaf Mamat pada minit ke-30 dan Mohd. Norfarhan Muhammad (50) manakala gol tunggal Perak dijaringkan oleh Mohd. Nasir Basharudin pada minit ke-32. - Kosmo
Share this article :
Share this Article on :
PERINGATAN: SkuadPenyu.Blogspot.Com tidak bertanggungjawab terhadap komentar/pandangan yang diutarakan melalui laman sosial/weblog ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.
Comments
0 Comments
 

web statistics
Sports ExactSeek: Relevant Web Search My Zimbio Top  blogs My Ping in TotalPing.com
© Copyright Skuad Bola Sepak Negeri Terengganu 2013 -2014 | Design by Hamba Allah.