Info Terkini :

Jadual Piala Malaysia Tidak Membebankan - FAM

PERSATUAN Bola Sepak Malaysia (FAM) tidak menganggap kepadatan jadual pertandingan Piala Malaysia edisi ke-88 musim ini memberi kesan kepada prestasi kesemua 16 pasukan bertanding.

Timbalan Presidennya, Datuk Seri Afandi Hamzah berkata, beliau melihat keluhan Jurulatih Angkatan Tentera Malaysia (ATM), B Sathianathan dan pengendali Terengganu, Abdul Rahman Ibrahim mengenai kelewatan majlis undian serta kepadatan jadual pertandingan Piala Malaysia daripada sudut positif, namun menegaskan telah melakukan segala yang terbaik demi kepentingan semua pihak.

“Ya, mungkin ada benarnya apa yang disuarakan Sathianathan tetapi kalau dilihat tarikh undian Piala Malaysia yang dibuat pada 13 Julai, tidaklah terlalu lewat. FAM harus melihat banyak perkara (majlis undian), meski pun saingan Liga Super selesai lebih awal (25 Jun).

“FAM juga perlu mengaturkan perlawanan play-off Piala Malaysia (28 Jun) membabitkan empat pasukan dan selepas itu barulah kami boleh merangka persiapan untuk pengundian. Bukan niat kami untuk melengah-lengahkan majlis undian tersebut," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas majlis penyerahan cek oleh penaja utama Kelantan, Hotlink kepada Yayasan Kebajikan Anak-Anak Yatim Kelantan (Yaatim) sempena perlawanan Amal Ramadan Hotlink di Kafe Theredwarriors Station, semalam.

Sathianathan baru-baru ini melontarkan cadangan kepada badan induk bola sepak kebangsaan itu agar melakukan majlis undian lebih awal, sementara Abdul Rahman mengeluh berikutan pasukannya terpaksa berdepan jadual perlawanan padat selain mengharungi
perjalanan jauh.

Menurut Afandi, pihaknya juga perlu mengutamakan kepentingan negara memandangkan skuad kebangsaan akan menyertai Sukan Asia di Incheon, Korea Selatan yang berlangsung pada 19 September hingga 4 Oktober depan.

“Pada masa sama, kami juga kena beri peluang kepada jurulatih negara, Dollah Salleh untuk membuat penilaian pemain dan masa rehat itulah akan digunakan beliau untuk mengumpul pemain bagi menjalani latihan menghadapi Piala AFF Suzuki,” katanya.

Tambahnya lagi, pihaknya telah sedaya-upaya menyediakan jadual pertandingan yang mampu memberikan ruang kepada semua persatuan negeri mempersiapkan pasukan masing-masing.

“Kalau lihat jadual kali ini, kita beri peluang kepada semua pemain untuk menyambut perayaan Aidilfitri dengan masa yang cukup. Dahulu, tiga hingga empat hari selepas sambutan perayaan, kita telah mulakan pertandingan namun kali ini berbeza.

“Kita tak teruskan (sepak mula perlawanan) sebaliknya lanjutkan sehingga 13 Ogos. Kita memikirkan selepas pemain berlatih, mereka perlu berehat untuk menyambut perayaan dan kemudian kembali menjalani latihan bersama pasukan,” katanya. - Sinar Harian
Share this article :
Share this Article on :
PERINGATAN: SkuadPenyu.Blogspot.Com tidak bertanggungjawab terhadap komentar/pandangan yang diutarakan melalui laman sosial/weblog ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.
Comments
0 Comments
 

web statistics
Sports ExactSeek: Relevant Web Search My Zimbio Top  blogs My Ping in TotalPing.com
© Copyright Skuad Bola Sepak Negeri Terengganu 2013 -2014 | Design by Hamba Allah.