Info Terkini :

Sarawak Pincang Tanpa 5 Tonggak Bertemu T-Team

SKUAD Bujang Senang bakal turun tanpa lima tonggak utama bagi berhadapan T-Team dalam aksi Liga Super di Stadium Negeri, Kuching malam ini.

Pengendalinya, Robert Alberts memberitahu, beliau terpaksa mencongak kembali percaturannya dalam usaha mereka bagi meraih tiga mata berharga dalam perlawanan itu selepas khidmat Gabor Gyepes, Hassan Mohamed, Rames Lai Ban Huat, Mafry Balang dan Zamri Morshidi terpaksa dilupakan.

Katanya, tonggak pertahanan, Gyepes yang mengalami kecederaan hamstring sejak bulan lalu dan dilihat terpaksa berehat lebih lama, begitu juga penyerang Hassan dan pemain sayap, Zamri yang turut menambah senarai kecederaan pasukan yang menghuni tangga ketujuh liga itu.

"Selain itu, Mafry (pertahanan) pula digantung satu perlawanan dan Rames (pertahanan) pula diserang demam campak.

"Saya berharap motivasi para pemain akan meningkat dalam pertemuan malam esok (malam ini) selepas berehat panjang. Sudah tentu misi kami adalah untuk meraih tiga mata penuh dalam perlawanan itu bagi memperbaiki kedudukan dalam Liga Super," katanya ketika dihubungi Kosmo! di Kuching semalam.

Mengulas lanjut, Alberts turut memberi bayangan bakal kembali menagih khidmat penjaga gol tinggi lampai, Mohd. Fadzley Abdul Rahim dalam perlawanan malam ini.

Mohd. Fadzley menampilkan aksi konsisten sepanjang diberikan peranan menjadi benteng terakhir Bujang Senang pada saingan pusingan kedua liga dan hanya diberi 'cuti' ketika Sarawak tewas 1-4 kepada Perak di Ipoh, 24 Mei lalu kerana dia melangsungkan perkahwinan.

"Melihat perkembangan terkini, saya rasa Mohd. Fadzley akan kembali ke posisi penjaga gol utama pasukan. Saya juga berharap para pemain yang diturunkan akan memberikan persembahan 100 peratus untuk meraih tiga mata.

"Saya juga jangkakan mendapat tentangan sengit daripada T-Team kerana pasukan itu juga mampu membuat kejutan selain mereka mahu memperbaiki kedudukan bagi mengelak terjerumus ke zon penyingkiran," katanya.

Sarawak kini mengumpul 25 mata dan selepas pertemuan dengan T-Team mereka mempunyai baki empat perlawanan yang sukar apabila akan menentang Lions XII pada 14 Jun diikuti Pahang (17 Jun), Selangor (21 Jun) dan Johor Darul Takzim (Johor DT) pada 25 Jun. - Sumber
Share this article :
Share this Article on :
PERINGATAN: SkuadPenyu.Blogspot.Com tidak bertanggungjawab terhadap komentar/pandangan yang diutarakan melalui laman sosial/weblog ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.
Comments
0 Comments
 

web statistics
Sports ExactSeek: Relevant Web Search My Zimbio Top  blogs My Ping in TotalPing.com
© Copyright Skuad Bola Sepak Negeri Terengganu 2013 -2014 | Design by Hamba Allah.