Info Terkini :

Red Giants Tempang Bertemu Skuad Penyu

Kuala Lumpur: Misi pendahulu Liga Super, Selangor untuk melebarkan kedudukan sukar selepas dua tonggak utama pertahanan tidak dapat diturunkan di Terengganu malam ini.

Pengendali Merah Kuning Mehmet Durakovic tidak dapat menggunakan khidmat pemain importnya dari Australia, Steve Pantelidis kerana penggantungan satu perlawanan dan Mohd Rizal Ab Rosid yang demam sekali gus tidak dapat diturunkan untuk aksi menentang Terengganu yang menghuni kedudukan ketiga liga.

“Situasi nampaknya tidak memihak kepada kami kerana tidak dapat menggunakan dua pemain pertahanan itu. Saya mungkin menggunakan pertahanan import dari Brazil, Evaldo Silva Dos Santos yang baru kembali menjalani latihan minggu ini. Dia tidak cergas sepenuhnya namun saya akan menilainya, jika bersedia dia akan diturunkan,” kata Durakovic semalam.

Dos Santos didaftarkan pada jendela kedua perpindahan pemain awal April lalu namun pada penampilan pertama menentang Perak, dia dilayangkan kad merah dan selepas itu pulang ke negaranya selama sebulan bagi merawat kecederaan sebelum kembali menyertai skuad Selangor baru-baru ini.

Durakovic mempunyai pilihan menurunkan pemain berkenaan untuk bergandingan bersama Shahrom Abd Kalam di pertahanan tengah namun seandainya tidak yakin gandingan berkenaan mampu menangani serangan Terengganu, beliau boleh mengubah posisi beberapa pemain bagi mengisi tempat yang ditinggalkan Pantelidis dan Rizal Fahmi.

Berbaki lima perlawanan Liga Super, Selangor kini mendahului dengan mengumpul 34 mata dengan Johor Darul Ta'zim (Johor DT) kedua, ketinggalan dua mata manakala Terengganu ketiga dengan 31 mata.

Ia perlawanan kedua terakhir di tempat lawan selain menentang Kelantan di Kota Bharu dengan tiga lagi aksi di Stadium Shah Alam menentang Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Sarawak dan PKNS FC.

“Selepas tewas kepada Johor DT (0-1) kami mempamerkan aksi bertenaga menentang juara Liga Europa, Sevilla FC, ia mengembalikan sedikit keyakinan kepada pemain. Kami perlu fokus dalam aksi 90 minit malam esok (malam ini) kerana sedikit kelekaan boleh membawa padah lantaran lawan mempunyai pemain berpengalaman,” katanya.

Malah Durakovic tidak bimbang sekiranya penyerang importnya dari Brazil, Paulo Rangel dikawal rapi dan sukar meledak jaringan kerana percaya pemain lain akan mampu melakukannya untuk membolehkan Merah Kuning membawa pulang tiga mata dari Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah. - Sumber
Share this article :
Share this Article on :
PERINGATAN: SkuadPenyu.Blogspot.Com tidak bertanggungjawab terhadap komentar/pandangan yang diutarakan melalui laman sosial/weblog ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.
Comments
0 Comments
 

web statistics
Sports ExactSeek: Relevant Web Search My Zimbio Top  blogs My Ping in TotalPing.com
© Copyright Skuad Bola Sepak Negeri Terengganu 2013 -2014 | Design by Hamba Allah.