Info Terkini :

Skuad Penyu Masih Berpeluang Juarai Liga Super

KUALA TERENGGANU - Skuad Penyu perlu memanfaatkan sepenuhnya dua perlawanan besar daripada baki lima perlawanan terakhir Liga Super sekiranya berhasrat untuk muncul juara pada edisi kali ini.

Pengurus pasukan, Marzuki Sulong berkata, kemenangan ke atas Selangor malam ini serta Johor Darul Ta'zim (JDT) Jumaat depan akan mencerahkan laluan anak-anak buah Abdul Rahman Ibrahim untuk bergelar juara liga.

"Kalau kita tengok sekarang ada empat pasukan berpeluang untuk muncul juara Liga Super iaitu Selangor, JDT, Terengganu dan Pahang.

"Jadi, perlawanan dengan Selangor dan JDT ini amat penting buat pasukan dan ia boleh dijadikan penentu sama ada Terengganu mampu muncul juara atau sebaliknya," katanya semalam.

Untuk rekod, sejak Liga Super diperkenalkan pada 2004, pencapaian terbaik Terengganu ialah muncul naib juara di belakang Kelantan pada 2011.

Ketika ini, Terengganu menduduki tangga ketiga liga dengan mengumpul 31 mata, hanya tiga mata di belakang pendahulu, Selangor.

Mengulas mengenai pertemuan penting menentang Red Giants malam ini, Marzuki berkata, Abdul Rahman hampir pasti akan menurunkan kesebelasan terbaiknya dalam usaha memburu tiga mata penuh di laman sendiri.

"Sejak menewaskan Pahang dalam perlawanan terakhir liga tempoh hari (24 Mei), para pemain telah diberi cuti rehat selama empat hari sebelum kembali menjalani latihan hingga ke hari ini (semalam).

"Apa yang saya dapat katakan ialah mereka semua sangat bersemangat untuk meneruskan rentak kecemerlangan," katanya.

Marzuki juga menaruh keyakinan bahawa gandingan dua penyerang import Terengganu iaitu Moustapha Dabo dan Javier Estupinan mampu mengucar-kacirkan pertahanan Selangor sekaligus memastikan lawan pulang dengan tangan kosong.

"Boleh dikatakan hampir semua pemain import perlukan masa untuk menyesuaikan diri dengan pasukan, dan dalam hal ini, saya percaya baik Dabo mahupun Estupinan kedua-duanya mampu menggalas tugas yang diberi dengan baik," ujar beliau. - Sumber
Share this article :
Share this Article on :
PERINGATAN: SkuadPenyu.Blogspot.Com tidak bertanggungjawab terhadap komentar/pandangan yang diutarakan melalui laman sosial/weblog ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.
Comments
0 Comments
 

web statistics
Sports ExactSeek: Relevant Web Search My Zimbio Top  blogs My Ping in TotalPing.com
© Copyright Skuad Bola Sepak Negeri Terengganu 2013 -2014 | Design by Hamba Allah.