Info Terkini :

Jangan Cepat Harap 'Sakti' Dollah Di AFF Suzuki Cup

KUALA LUMPUR - Semua pihak digesa tidak terlalu mengharapkan sentuhan emas mampu terus dijelmakan Dollah Salleh apabila dia diumumkan sebagai ketua jurulatih baharu pasukan negara kelmarin.

Sebaliknya bekas penyerang skuad kebangsaan dari 1985 hingga 1996 itu wajar diberikan sokongan selain ruang mahupun masa untuk membentuk skuad Harimau Malaya yang mantap terlebih dulu.

Biarpun ‘kesaktian’ Dollah, 51, terbukti pada saingan tempatan ketika membimbing MBPJ, Selangor dan Pahang serta Polis Diraja Malaysia (PDRM) sejak 2003 hingga musim ini, tidak semestinya kejayaan itu bakal mudah diulangi dengan Malaysia pada Kejohanan AFF, November ini.

“Jangan berikan tekanan sangat kepadanya apatah lagi dengan tempoh lima bulan yang tinggal buatnya dalam menyiapkan pasukan ke Kejohanan AFF.

“Memang lumrah orang kita hendakkan kejayaan segera tetapi kena ada ruang buat mana-mana jurulatih baharu pasukan negara sebelum dapat mencipta kejayaan," kata Setiausaha Agung Persatuan Jurulatih Bola Sepak Malaysia, Datuk Khaidir Buyong, yang turut mengalu-alukan pelantikan jurulatih PDRM itu.

Khaidir, bekas jurulatih Selangor, Perak, Angkatan Tentera dan Telekom Melaka serta skuad belia negara, mengulas pelantikan Dollah ke ‘kerusi panas’ Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) itu dengan ditawarkan kontrak dua tahun.

Pelantikan Dollah turut meneruskan tradisi khidmat anak tempatan sebagai pengendali Harimau Malaya selepas Datuk K. Rajagobal (2009-2013), B. Sathianathan (2007-8) dan Norizan Bakar (2005-7).

Mendiang Bertalan Bicskei dari Hungary pula merupakan jurulatih import terakhir yang melatih Malaysia dari 2004 hingga 2005 sementara Datuk Ong Kim Swee memangku jawatan ini bagi menghadapi Kelayakan Piala Asia 2015 menentang Yemen, Mac lalu.

Dollah membawa MPPJ menjuarai Liga Perdana dan Piala Malaysia 2003, Selangor juara Liga Perdana, Piala FA dan Piala Malaysia 2005, Pahang juara Piala Malaysia 2013 dan PDRM juara Liga Perdana 2014.

Sebagai pemain kebangsaan, dia pernah memenangi pingat emas Sukan SEA 1989 dan gelaran Pestabola Merdeka 1986 dan 1993 selain menyerlah bersama Johor, Selangor, Pahang, Melaka dan Negeri Sembilan.

Kata Khaidir, masanya terlalu suntuk untuk FAM melantik sama ada calon jurulatih import dari Jerman,Wolfgang Sidka atau Gert Engels dari Jerman ke jawatan itu, memandangkan tahun ini cuma tinggal lima bulan lagi.

“Dollah pun mempunyai latar belakang kejayaan yang hebat sama ada sebagai pemain negara mahupun jurulatih negeri dan kelab. Dia juga pasti cukup kenal dan arif dengan Liga Super dan Perdana dalam memilih pemain untuk membentuk skuad negara.

“Jika FAM ambil jurulatih import, lebih banyak masa diperlukannya untuk menilai pemain apatah lagi kini liga kita sudah pun habis dan hanya Piala Malaysia (bermula Ogos ini) yang tinggal sebagai rujukannya," katanya. - UTUSAN
Share this article :
Share this Article on :
PERINGATAN: SkuadPenyu.Blogspot.Com tidak bertanggungjawab terhadap komentar/pandangan yang diutarakan melalui laman sosial/weblog ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.
Comments
0 Comments
 

web statistics
Sports ExactSeek: Relevant Web Search My Zimbio Top  blogs My Ping in TotalPing.com
© Copyright Skuad Bola Sepak Negeri Terengganu 2013 -2014 | Design by Hamba Allah.