Info Terkini :

Akademi Bola Sepak Titans Muda Cungkil Bakat Baru

AKADEMI Bola sepak Titans Muda (ABTM) meneruskan program pembangunan sukan bola sepak di negeri ini menerusi penganjuran Karnival Bolasepak 3 Penjuru melibatkan hampir 350 peserta dari cawangan Gong Badak, Marang dan Paka, Dungun, Kuala Terengganu baru-baru ini.

Karnival yang diadakan tiga kali setiap tahun sejak 2013 itu dilihat menjadi medan terbaik buat ABTM dalam merintis bintang bola sepak yang ketika ini masih kekurangan bakat baharu khususnya pada usia 7 hingga 9 tahun.

Pada kejohanan yang berlangsung selama sehari di Kompleks Sukan Gong Badak itu menyaksikan sebanyak 21 pasukan bertanding dalam empat kategori peringkat umur iaitu bawah 8, 10, 12 dan 15 tahun.

Pengendali ABTM, Che Ku Marzuki Che Ku Mohd Nor berkata, karnival bola sepak itu bukan sahaja untuk memenuhi tuntutan program tahunan, sebaliknya memperbanyakkan sesi perlawanan dalam kalangan peserta.

Menurutnya, sememangnya penganjuran yang diadakan itu bukanlah bermatlamat mencari pemenang, tetapi lebih kepada menyediakan platform dalam mewujudkan persaingan dalam kalangan pelatih seterusnya menzahirkan bakat yang ada pada mereka untuk penilaian serta perancangan akademi pada masa depan.

“Saya akui kekurangan perlawanan menjadi salah satu punca kenapa bakat pemain muda kita lambat berkembang. Jadi dengan kewujudan karnival atau pertandingan sebegini ia mampu beri mereka peluang untuk mempamerkan kebolehan masing-masing.

“Selain itu, kita turut beri tumpuan kepada pemain yang berusia seawal 7-9 tahun yang mana kami dapati perlawanan dalam kategori ini masih kurang dianjurkan dan merasakan pendedahan seawal umur ini perlu diperbanyakkan bagi menggalakkan aktiviti yang sihat serta memupuk minat mereka dengan lebih mendalam,” katanya.

Medan nilai prestasi pelatih

Dalam pada itu, bekas ketua jurulatih T-Team tersebut turut mengakui karnival berkenaan juga berperanan sebagai medan untuk menilai tahap teknikal dan kemahiran pelatih sejak mereka menjalani latihan bersama akademi April tahun lalu.

Katanya, pelatih yang telah dikenal pasti berpotensi atau mencapai kecemerlangan akan dikumpulkan untuk menjalani latihan pusat ‘Kem Tahunan’ pada setiap penghujung tahun.

“Mereka ini akan didedahkan secara teori dan amali yang melibatkan semua aspek dalam bola sepak sama ada latihan mahupun pemakanan. Turut diselitkan aktiviti berbentuk rohani dan jasmani seperti motivasi serta ceramah agama dalam usaha membentuk sahsiah diri yang terbaik dalam kalangan mereka.

“Malah, kita turut bekerja sama dengan Majlis Sukan Negeri Terengganu (MSNT) untuk menempatkan pelatih yang berpotensi ke Akademi Bolasepak di setiap daerah di negeri ini,” katanya.

Harap jadi contoh

Che Ku Marzuki atau lebih mesra dengan panggilan ‘Jibang’ dalam kalangan peminat bola sepak di negeri ini mengharapkan dalam tempoh tiga hingga empat tahun akan datang ABTM mampu menyediakan pemain berbakat untuk diserapkan bukan sahaja ke skuad Piala Presiden, bahkan ke skuad Sukan Malaysia.

Justeru katanya, apa yang diharapkan agar karnival tahunan yang diadakan itu mampu menjadi pemangkin menaikkan semangat pelatih dalam mempamerkan kecemerlangan mereka dalam sukan bola sepak sekali gus menjadi contoh kepada akademi bola sepak lain di negeri ini.

“Saya percaya usaha yang dilakukan ini bukan sahaja dapat menyemarakkan lagi, bahkan memperbanyakkan lagi perlawanan bola sepak peringkat awal usia sekali gus beri ruang dan peluang untuk pemain terus mengasah bakat mereka ke peringkat tertinggi.

“Harapan kami agar pemain muda ini bakal jadi pelapis bintang bola sepak Terengganu pada masa akan datang,” katanya.

Untuk rekod, ABTM turut dibantu 26 jurulatih dan tiga pegawai yang bertauliah dalam aspek pengurusan serta kejurulatihan. - Sinar Harian
Share this article :
Share this Article on :
PERINGATAN: SkuadPenyu.Blogspot.Com tidak bertanggungjawab terhadap komentar/pandangan yang diutarakan melalui laman sosial/weblog ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.
Comments
0 Comments
 

web statistics
Sports ExactSeek: Relevant Web Search My Zimbio Top  blogs My Ping in TotalPing.com
© Copyright Skuad Bola Sepak Negeri Terengganu 2013 -2014 | Design by Hamba Allah.