Info Terkini :

Terengganu Lega Menang, Diselebungi Kontroversi

Kuala Terengganu: Kejayaan menundukkan LionsXII 2-1 di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, malam kelmarin memberi petanda kebangkitan semula Terengganu selepas lima perlawanan tanpa sebarang kemenangan.

Lebih manis kejayaan itu hadir tepat pada masanya ketika skuad Penyu berusaha mengejar pendahulu liga Selangor biarpun ketinggalan enam mata dan berada di tangga ketiga liga.

Jurulatih Terengganu, Abdul Rahman Ibrahim berkata, kebangkitan anak buahnya selepas agak tenggelam dalam lima perlawanan terdahulu harus dipuji.

“Kejayaan menumbangkan lawan itu memberi makna besar buat pasukan apatah lagi kami tidak menang dalam lima perlawanan terakhir.

“Keupayaan pemain tempatan dan import sudah menampakkan peningkatan dan saya mengharapkan kebangkitan ini dapat diteruskan hingga penghujung liga,” katanya.

Bagaimanapun, jurulatih berpengalaman itu enggan mendabik dada susulan kejayaan itu, sebaliknya tetap mahukan pemainnya meningkatkan lagi prestasi.

Katanya, untuk lebih konsisten, pemain perlu menanam sikap dahagakan kemenangan selain melipatgandakan latihan dalam pelbagai aspek.

“Saya tidak mahu pemain berasa selesa dengan kedudukan terkini, sebaliknya menuntut mereka berusaha mencatat kemenangan demi kemenangan dalam perlawanan seterusnya terutama bertemu Pahang Sabtu ini di laman lawan,” katanya.

Dalam perlawanan dengan LionsXII itu, Terengganu mengotakan janji apabila berjaya menghasilkan jaringan melalui tandukan cantik pemain import Javier Estupinan dan sepakan penalti kapten Zairo Anuar Zailani biarpun ketinggalan 0-1.


Kontroversi Skuad Penyu

Kemenangan Terengganu ke atas LionsXII 2-1 pada aksi Liga Super di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah kelmarin mencetuskan kontroversi apabila wakil kelab dari Singapura itu mendakwa tuan rumah membuat empat pertukaran pemain.

Perkara itu dibangkitkan LionsXII selepas Terengganu bertindak menggugurkan nama Mohd Nor Farhan Muhammad dan menggantikan dengan Ahmad Nordin Alias daripada senarai pemain yang sudah ditandatangani oleh pegawai kedua-dua pasukan serta pegawai perlawanan.

Senarai baru pemain dalam perlawanan itu kemudian dikeluarkan lima minit sebelum sepak mula dan difahamkan, pertukaran Nor Farhan dan Ahmad Nordin sudah dikira sebagai pemain gantian sebaik saja senarai pemain sudah disahkan dan itu bermakna Terengganu hanya boleh membuat dua lagi pertukaran dalam permainan.

Namun dalam 90 minit perlawanan itu pula, jurulatih Terengganu, Abdul Rahman Ibrahim membuat tiga lagi pertukaran apabila menggantikan Mohd Ashaari Shamsuddin, Moustapha Dabo dan Ismail Faruqi Asha'ri dengan Mohd Fakhrurazi Musa, Mario Karlovic dan Nor Hakim Hassan.

Berdasarkan laporan laman web axrosstheline.com, pengurus LionsXII V Subramanian yang dihubungi berkata, pihaknya sudah membuat laporan kepada Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) berhubung kes itu.



“Kami fikir ada masalah dengan pertukaran pemain itu kerana pertukaran pemain yang dibuat selepas senarai pemain disahkan oleh kedua-dua pasukan sudah dikira. Tapi ketika dalam perlawanan mereka (Terengganu) membuat tiga pertukaran.

“Kami sudah melaporkan isu ini kepada komisioner perlawanan dan FAM,” katanya.

Sementara itu Arena Metro cuba mendapatkan penjelasan daripada Pengerusi Jawatankuasa Pertandingan Tempatan FAM (JKPT) Datuk Seri Afandi Hamzah berhubung isu itu namun beliau meminta masa untuk mengumpul maklumat terlebih dulu.
Share this article :
Share this Article on :
PERINGATAN: SkuadPenyu.Blogspot.Com tidak bertanggungjawab terhadap komentar/pandangan yang diutarakan melalui laman sosial/weblog ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.
Comments
0 Comments
 

web statistics
Sports ExactSeek: Relevant Web Search My Zimbio Top  blogs My Ping in TotalPing.com
© Copyright Skuad Bola Sepak Negeri Terengganu 2013 -2014 | Design by Hamba Allah.