Info Terkini :

Insiden Terowong: "Mana Ada Pukul" - TMJ

Kuala Lumpur: Persoalan mengenai misteri 'Terowong Larkin' akhirnya terjawab apabila Presiden Persatuan Bolasepak Negeri Johor (PBNJ) Tunku Ismail Sultan Ibrahim menafikan beliau mengasari pemain import T-Team Evaldo Goncalves dalam kekecohan yang berlaku pada waktu rehat perlawanan Liga Super di Stadium Tan Sri Haji Hassan Yunos pada 1 Februari lalu.

Ketika temubual dalam program bual bicara Dengan Izin terbitan Astro Arena malam tadi, Tunku Ismail mengakui beliau berada di tempat kejadian bagi meleraikan kekecohan antara pemain T-Team dengan pemain dan pegawai Johor Darul Ta'zim.

“Bila saya turun di tangga, saya kurang pasti nama dia siapa (pemain import T-Team) sedang tolak-menolak dengan jurulatih Cesar (Ferrando Jimenez). Masa itu kita cuba leraikan (pergaduhan). Masa itu, apa yang saya katakan kepadanya ialah 'anda sebagai pemain asing perlu menghormati negara ini. Dia orang sebagai pemain profesional sepatutnya datang ke sini menjadi contoh kepada kita kerana bola sepak mereka lebih besar daripada kita, tidak boleh buat kecoh macam ini.


“Selepas dileraikan, semasa saya berjalan pergi dari tempat itu, saya nampak pemain import Brazil kedua masih saling maki hamun dan cuba mendekati jurulatih dan pemain. Masa itu ramai yang saling tolak-menolak lalu saya berpusing semula dan menyuruh mereka masuk ke bilik persalinan.

“Tapi cerita itu, ada yang cakap saya pukul pemain, ada yang cedera tapi kalau anda tengok muka dia pun tak ada kecederaan,” kata Tunku Ismail ketika menceritakan semula insiden yang berlaku di dalam terowong itu.

Sehingga ke hari ini, insiden pemain T-Team, Evaldo Goncalves yang didakwa ditumbuk pemimpin tertinggi Johor DT dan jurulatih kecergasan, Stefano Impagliazzo yang ditendang di bahagian kemaluan masih belum diputuskan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) sama ada ia akan dibicarakan ataupun tidak memandangkan badan induk itu masih menunggu hasil siasatan polis.

Dalam perlawanan itu, Johor DT diberikan kemenangan percuma 3-0 ke atas T-Team selepas Jawatankuasa Pertandingan Tempatan FAM memutuskan alasan skuad kendalian Azraai Khor Abdullah yang tidak mahu meneruskan aksi babak kedua atas faktor keselamatan tidak dapat diterima.

Sementara itu, Tunku Ismail juga turut ditanya mengenai kesediaannya untuk bertanding merebut jawatan Presiden FAM pada mesyuarat kongres pemilihan badan induk bola sepak tanah air itu Ahad ini dan beliau berkata, keinginannya itu didorong atas sokongan penyokong bola sepak yang inginkan perubahan.

“Dorongan sebenarnya adalah penyokong. Menang atau tidak saya tidak boleh janji kepada mereka, tapi saya buat demi mereka. Mereka ingin sangat perubahan. Saya menghormati Sultan Ahmad Shah (presiden) dan juga Tengku Mahkota Pahang Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah.

“Bila saya membuat teguran, itu adalah kepada sistem pengurusan FAM dan bukan kepada individu tertentu,” katanya.

“Kalau saya di situ (Presiden FAM), saya akan pastikan persatuan bola sepak negeri mendapat bajet RM2 hingga RM3 juta kepada setiap negeri bagi membolehkan mereka bersaing lebih kompetitif dalam liga dan program pembangunan akar umbi,” katanya yang turut mahu menyediakan peruntukan bagi melantik pengadil profesional.

Pada kongres kali ini, Tunku Ismail akan bersaing dengan penyandang Sultan Ahmad Shah dan anakandanya yang juga timbalan presiden Tengku Abdullah bagi merebut jawatan presiden. - Sumber
Share this article :
Share this Article on :
PERINGATAN: SkuadPenyu.Blogspot.Com tidak bertanggungjawab terhadap komentar/pandangan yang diutarakan melalui laman sosial/weblog ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.
Comments
0 Comments
 

web statistics
Sports ExactSeek: Relevant Web Search My Zimbio Top  blogs My Ping in TotalPing.com
© Copyright Skuad Bola Sepak Negeri Terengganu 2013 -2014 | Design by Hamba Allah.