Info Terkini :

Goran Subara Perkuat Benteng T-Team Titans

Kuala Terengganu: Pertahanan baru T-Team Goran Subara akan turun memperkuatkan benteng pasukan itu menjelang aksi Liga Super menentang pasukan 'abang', Terengganu di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, malam ini.

Pemain kelahiran Australia berusia 27 tahun itu bakal membuat penampilan pertama dengan skuad The Titans bagi mengisi kekosongan pertahanan tengah, Fabio Flor yang ditamatkan kontrak akibat kecederaan kaki.

Bekas pemain kelab Liga Thailand, Bangkok Glass itu dijangka digandingkan dengan Mohd Faizal Mohamad atau Marzuki Yusof bagi mengekang serangan skuad bimbingan Abdul Rahman Ibrahim.

Pengendalinya Mohd Azraai Khor Abdullah berkata, sudah pasti kehadiran Subara melegakannya bagi memperkuatkan benteng pertahanan yang sebelum ini longgar selepas ketiadaan Flor.

Menurutnya, penampilan pertama Subara bersama The Titans pastinya cabaran besar buat dirinya bagi memastikan benteng tidak dibocori Terengganu.

“Kami memang tidak sabar menggunakan tenaga Subara bagi menghalang asakan penyerang Terengganu.

“Biarpun ini aksi pertama, saya percaya dia mampu menyesuaikan diri kerana sudah bersama sebelum cuti rehat tiga minggu lalu,” katanya semalam.

Jurulatih berusia 62 tahun itu berkata, sekiranya pertahanan mampu mengawal penyerang Terengganu, tidak mustahil kemenangan dilakar.

Selain Subara, T-Team turut memiliki tiga lagi tenaga import, Leandro Dos Santos dari Brazil, Jimmy Mulisa (Rwanda) dan Patrich Wanggai (Indonesia) bagi menguatkan pasukan dalam baki Liga Malaysia.

Sebelum menyertai T-Team, Subara pernah menyarung jersi beberapa pasukan, Bonnyrigg White Eagles pada 2005 hingga 2008, Gombak United (2009-2010), PSM Makassar (2010-2011), Singapore Armed Forces (2011-2012), Balestier Khalsa (2012-2013) dan Bangkok Glass (2013-2014). - Sumber
Share this article :
Share this Article on :
PERINGATAN: SkuadPenyu.Blogspot.Com tidak bertanggungjawab terhadap komentar/pandangan yang diutarakan melalui laman sosial/weblog ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.
Comments
0 Comments
 

web statistics
Sports ExactSeek: Relevant Web Search My Zimbio Top  blogs My Ping in TotalPing.com
© Copyright Skuad Bola Sepak Negeri Terengganu 2013 -2014 | Design by Hamba Allah.