Info Terkini :

MB Terengganu Beri Amaran Kepada T-Team

Kuala Terengganu: “Jika T-Team tidak tingkatkan permainan dan turun bermain dalam Liga Perdana, pasukan itu akan dibubar!”

Demikian amaran keras Menteri Besar Datuk Seri Ahmad Said kepada pasukan T-Team supaya meningkatkan mutu permainan mereka bagi mengelak daripada turun ke Liga Perdana, musim depan.

Ahmad peminat bola sepak nombor satu di negeri ini berkata, sekiranya perkara itu berlaku, kerajaan negeri tidak ada pilihan selain menggugurkan pasukan itu daripada beraksi dalam kancah Liga Malaysia (Liga M).

Menurutnya, jutaan ringgit sudah dibelanjakan untuk menguruskan dua pasukan, T-Team dan Terengganu dan sepatutnya pengorbanan itu dibalas dengan persembahan setimpal.

“Kita mahu melihat kedua-dua pasukan ini menunjukkan permainan terbaik dan bukannya beraksi ala yo-yo.

“Kita harap T-Team dapat bangkit dan mengelak daripada turun beraksi ke Liga Perdana kerana ketika ini, pasukan itu bergelut dalam kelompok bawahan liga.

“Jika turun juga, tidak akan ada lagi kelibat pasukan ini (T-Team) musim depan,” katanya selepas menyempurnakan majlis pelancaran Ekspedisi Terengganu De’ Everest 2015 di Wisma Darul Iman, semalam.

Turut hadir, Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri Zubir Embong, Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Mazlan Ngah serta Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan dan Sumber Manusia negeri Rozi Mamat.

T-Team di bawah bimbingan Azraai Khor Abdullah kini menghuni tangga kesembilan liga dengan meraih 13 mata daripada 12 perlawanan.

Skuad terbabit gagal mempamerkan aksi konsisten musim ini dengan masalah utama ketumpulan bahagian serangan.

Ditanya mengenai T-Team mahu mengambil bekas penyerang kebangsaan Perancis, Nicolas Anelka, Ahmad enggan mengulas perkara itu sebaliknya diminta tunggu dan lihat apa yang akan berlaku.

“Tengoklah macam mana, saya tidak boleh mengulas lanjut sebab masih di peringkat perbincangan,” katanya. - Sumber
Share this article :
Share this Article on :
PERINGATAN: SkuadPenyu.Blogspot.Com tidak bertanggungjawab terhadap komentar/pandangan yang diutarakan melalui laman sosial/weblog ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.
Comments
0 Comments
 

web statistics
Sports ExactSeek: Relevant Web Search My Zimbio Top  blogs My Ping in TotalPing.com
© Copyright Skuad Bola Sepak Negeri Terengganu 2013 -2014 | Design by Hamba Allah.