Info Terkini :

FAM Boleh Mulakan Siasatan Insiden Terowong - KJ

PETALING JAYA: Jawatankuasa Tatatertib Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) boleh mulakan siasatan berhubung 'insiden terowong' tanpa menunggu hasil siasatan polis jika ingin menyelesaikan kes itu dengan segera, kata Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin.

"Berdasarkan bukti menerusi keterangan daripada saksi dan tiada rakaman ketika kejadian, kes ini mungkin tidak dapat dibawa ke mahkamah.

"Dari satu sudut, saya percaya FAM tidak akan menerima apa-apa hasil yang akan diperolehi daripada siasatan polis," katanya ketika diminta mengulas mengenai tindakan FAM menangguh siasatan terhadap individu yang didakwa terbabit dalam kejadian itu.

Kekecohan berlaku sewaktu perlawanan pusingan kedua Piala FA antara pasukan Johor Darul Ta'zim (JDT) dan T-Team di Stadium Tan Sri Hassan Yunos, Larkin, Johor Bahru, pada 1 Februari lalu.

Terdahulu beliau menghadiri majlis Anugerah Persatuan Penulis-Penulis Sukan Malaysia (SAM)-100plus-KBS di sini hari ini.

Khairy berkata, pihak polis perlu mencari bukti yang tidak boleh dipertikaikan jika ingin membawa kes itu ke mahkamah.

Beliau berkata, sekiranya pihak polis gagal mendapat bukti kukuh yang tidak dapat dipertikaikan maka mereka yang berkaitan dengan insiden itu akan terlepas dari sebarang tindakan undang-undang.
"Saya faham, jika FAM ingin menunggu siasatan polis, mereka boleh berbuat demikian tetapi sekiranya FAM ingin segerakan untuk selesai kes itu mereka boleh membuat siasatan sendiri dengan bukti yang sedia ada," katanya.

Pada Selasa lalu, Pengerusi Jawatankuasa Tatatertib FAM, Datuk Taufek Abdul Razak menjatuhkan hukuman denda itu berdasarkan isu keselamatan dalam terowong sahaja, tanpa membabitkan 'individu tertentu' daripada pengurusan tertinggi Persatuan Bola Sepak Negeri Johor (PBNJ) yang dikatakan menyerang pemain lawan di dalam terowong berkenaan.

Malah keputusan itu membuatkan Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Ahmad Said tidak berpuas hati.

Khairy berkata, beliau faham bahawa Ahmad ingin mendapat penyelesaikan daripada perkara berkenaan.

Laporan akhbar tempatan hari ini melaporkan Ahmad berang dengan cara pengendalian kes berkenaan dan meminta Taufek mengundur diri dari awal atau meletak jawatan sekiranya tidak berupaya menjalankan tanggungjawab dengan profesional dan adil.

Dalam perkembangan lain, Khairy berkata beliau positif dan yakin dengan perancangan baharu Persatuan Badminton Malaysia (BAM) untuk mengembalikan Malaysia sebagai tiga negara terbaik dalam sukan badminton menjelang tahun 2020.

"Saya telah berbincang dengan kepimpinan tertinggi BAM dan mereka mempunyai perancangan sendiri bagi membangunkan sukan badminton dan KBS akan memberi sokongan padu bagi menjayakan rancangan tersebut termasuk usaha melahirkan lebih ramai pemain remaja di peringkat akar umbi," katanya.

Beliau berkata, Kementerian Pendidikan akan turut sama membantu dalam usaha penganjuran kejohanan peringkat remaja agar lebih ramai bakat muda diberi peluang untuk mempertengahkan bakat mereka dalam sukan ini.

Khairy berkata, BAM turut menjelaskan kepada beliau tentang sistem kejurulatihan baharu mereka dan juga program penilaian pemain yang dilakukan secara bersama dengan pihak Institut Sukan Negara (ISN).

"Secara keseluruhan saya berpuas hati dengan pelan baharu BAM dan berharap ianya memberikan hasil yang positif," katanya.

Khairy sebelum ini menyuarakan kebimbangan terhadap prestasi pemain badminton negara dan mendesak BAM mencari formula untuk memulihkan kembali era kecemerlangan barisan pemain negara dan persatuan itu dan tidak hanya bergantung kepada kehebatan pemain nombor satu dunia, Datuk Lee Chong Wei.  - Sumber
Share this article :
Share this Article on :
PERINGATAN: SkuadPenyu.Blogspot.Com tidak bertanggungjawab terhadap komentar/pandangan yang diutarakan melalui laman sosial/weblog ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.
Comments
0 Comments
 

web statistics
Sports ExactSeek: Relevant Web Search My Zimbio Top  blogs My Ping in TotalPing.com
© Copyright Skuad Bola Sepak Negeri Terengganu 2013 -2014 | Design by Hamba Allah.