Info Terkini :

Terengganu Mahu Jarak Jurang Mata Liga Super

SETELAH berjaya mengekalkan status pendahulu liga sejak tiga minggu lalu,  Terengganu tekad mempertahankan kedudukan itu ketika turun menentang pasukan jiran tetangga, Kelantan dalam aksi Liga Super di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, Kuala Terengganu malam nanti.

Biarpun mengakui laluan sukar bakal menanti mereka, namun pengendalinya, Abdul Rahman Ibrahim tidak mahu pasukannya tercicir mata dan mengharapkan anak buahnya mampu mengekalkan rentak kemenangan sebagaimana mereka membenam cabaran Angkatan Tentera Malaysia Selasa lalu.

Menurutnya, sekiranya anak buahnya bermain mengikut taktikal yang dirancangkan sebagaimana sesi latihan, tidak mustahil kemenangan mampu dicapai atau sekurang-kurangnya mengutip satu mata pada pertemuan itu nanti.

“Tugas utama pasukan ketika ini adalah untuk mengekalkan rentak kemenangan dan saya mengharapkan pemain dapat menguasai taktikal permainan sebagaimana mereka membuktikan dalam perlawanan sebelum ini.

“Saya yakin pemain mampu memberikan komitmen terbaik mereka, tambahan mereka mendapat suntikan semangat selepas pasukan meraih kemenangan bertemu ATM.  Apa pun pemain perlu fokus sepanjang perlawanan berlangsung dan bekerja keras untuk memastikan tiga mata milik Terengganu,” katanya.


Misi jarak jurang mata

Dalam pada itu, bekas pengendali pasukan PKNS itu  turut mengingatkan anak buahnya agar tidak terlalu leka dengan status pendahulu liga, sebaliknya memberikan aksi terbaik mereka kerana pasukan Kelantan juga mempunyai misi yang sama iaitu untuk meraih kemenangan setelah mereka diaibkan Johor Darul Ta’azim Selasa lalu.

Katanya, misi Terengganu ketika ini adalah untuk menjarakkan jurang mata dengan pasukan lain, oleh itu hanya dengan kemenangan sahaja yang membolehkan skuad Penyu terus berada di atas dan mengharap kesebelasan utama yang diturunkan mampu memikul tanggungjawab mereka dengan sebaik mungkin.

“Sekiranya benteng pertahanan kita mampu mengekang pergerakan jentera serangan pelawat dan pemain tidak mempersia-siakan peluang keemasan di depan gol, tiada sebab untuk kita tidak meraih kemenangan.

“Apa pun pemain perlu sentiasa berwaspada dengan setiap ancaman dan pergerakan pasukan lawan, seterusnya berjuang dengan bersungguh-sungguh sehingga tamat perlawanan,” katanya.

Untuk rekod, pasukan Terengganu berjaya meraih kemenangan pertama di gelanggang lawan dengan menundukkan ATM, 3-0 Selasa lalu menerusi jaringan pembukaan Abdul Manaf Mamat, diikuti gol oleh Nor Farhan Mohamad dan Mohd Faiz Subri.


Azrai akui berdepan laluan getir

SEMENTARA itu, meskipun berjaya meloloskan diri daripada zon penyingkiran Selasa lalu, namun pasukan berstatus kelab T-Team, bakal berdepan laluan sukar ketika turun berkunjung ke Singapura bertemu skuad Lions XII di Stadium Jalan Besar dalam aksi Liga Super malam nanti.

Justeru, pengendalinya Mohd Azraai Khor Abdullah menuntut pemainnya memberikan 100 peratus komitmen mereka dan bekerja keras untuk meraih kemenangan pada perlawanan itu.

Menurutnya, beliau akan mempertaruhkan percaturan terbaik dalam perlawanan yang pastinya memberikan saingan sengit apatah lagi beraksi di atas rumput tiruan.

“Pastinya, pertemuan itu nanti memberi laluan sukar buat kami, bagaimanapun saya yakin pemain sudah bersedia untuk menyahut cabaran dalam apa jua cara sekalipun untuk meraih kejayaan.

“Kita akan menurunkan kesebelasan terbaik dengan bekalan semangat yang masih membara ketika kita menumpaskan Sime Darby, 3-0 Selasa lalu dan saya pasti pemain juga mahukan kemenangan,” katanya di sini, kelmarin.

Dalam pada itu, bekas ketua jurulatih pasukan Perak itu berkata, beliau berkemungkinan besar akan mengekalkan pemain yang sama dan bakal menggunakan dua khidmat pemain muda iaitu Mohd Sharin Sapiean (tengah) dan Muhammad Syuhiran yang beraksi cemerlang ketika bertemu Sime Darby tempoh hari.

Katanya, walaupun dua pemain itu mengalami kekejangan otot pada perlawanan Selasa lalu, namun kesungguhan dan kemampuan yang dimiliki mereka dilihat mampu membantu pasukan ketika bertemu Lions XII nanti.

“Apa pun kita harap kedua-dua pemain ini kembali cergas menjelang pertemuan itu nanti dan berharap mereka dapat mengalas  tanggungjawab dengan baik sekiranya diturunkan.

“Kita akan lihat kecederaan mereka dan akan tentukan kedudukan mereka esok (hari ini) sama ada boleh diturunkan atau sebaliknya. Harapan saya pada pertemuan itu nanti, pemain dapat mengekalkan momentum permainan mereka sebagai mana pasukan menewaskan Sime Darby,” katanya. - Sumber
Share this article :
Share this Article on :
PERINGATAN: SkuadPenyu.Blogspot.Com tidak bertanggungjawab terhadap komentar/pandangan yang diutarakan melalui laman sosial/weblog ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.
Comments
0 Comments
 

web statistics
Sports ExactSeek: Relevant Web Search My Zimbio Top  blogs My Ping in TotalPing.com
© Copyright Skuad Bola Sepak Negeri Terengganu 2013 -2014 | Design by Hamba Allah.