Info Terkini :

PBSNT Bawa Kes T-Team Ke AFC, FIFA



Kuala Terengganu: Terengganu sedang menimbang kemungkinan membawa isu kemenangan 3-0 yang diberi kepada Johor Darul Ta'zim (Johor DT) ke pengetahuan Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) dan Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA).

Presiden Persatuan Bolasepak Negeri Terengganu (PBSNT) Datuk Wan Ahmad Nizam Wan Abdul Hamid berkata, beliau akan mengadakan mesyuarat khas dengan pengurusan T-Team bagi membincangkan langkah sewajarnya berhubung keputusan berkenaan.

“Saya tidak mahu putuskan lagi perkara ini, segala-galanya bergantung kepada mesyuarat berkenaan, sama ada bersetuju membawa isu ini ke AFC dan FIFA atau sebaliknya, terserah kepada ahli mesyuarat itu untuk menentukannya,” katanya.

Akhbar semalam melaporkan keputusan FAM yang dianggap tidak adil itu mencetuskan kemarahan penolong jurulatih T-Team Azlan Johar yang mengharapkan perlawanan ulangan diadakan di gelanggang berkecuali.

Selain itu, rata-rata peminat yang dipetik dalam Facebook turut mengecam tindakan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) yang memberi kemenangan percuma itu kepada Johor DT. Sehubungan itu, mereka mahukan keadilan seperti mana membabitkan perlawanan Pahang dengan Johor DT dalam saingan separuh akhir kedua Piala FA 28 Mei tahun lalu apabila FAM memutuskan aksi ulangan diadakan di gelanggang berkecuali.

“PBSNT akan ikut keputusan mesyuarat khas T-Team. Bagaimanapun saya difahamkan pemain import yang terbabit dengan 'isu tumbuk dan terajang' di terowong pemain di Larkin, akan membawa kes ini ke pengetahuan FIFA,” katanya.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif T-Team Abdul Rasid Jusoh berkata, mesyuarat khas yang akan dipengerusikan Wan Ahmad Nizam itu bakal dihadiri pakar undang-undang.

“Banyak perkara yang akan dibincangkan nanti, tapi kami akan buat keputusan terbaik mengikut undang-undang demi masa depan pasukan dan pembangunan bola sepak negara.

“Apa saja keputusan sama ada kes ini akan dilaporkan kepada AFC atau FIFA tertakluk kepada mesyuarat khas itu nanti,” katanya yang turut mengharapkan pemainnya bangkit ketika melayani kunjungan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) malam ini.

Kelmarin Pengerusi Jawatankuasa Pertandingan Tempatan FAM, Datuk Seri Afandi Hamzah memutuskan memberi kemenangan percuma 3-0 kepada Johor DT selepas mendapati T-Team bersalah kerana enggan meneruskan aksi babak kedua pusingan kedua Piala FA di Stadium Tan Sri Hassan Yunos, Larkin, 1 Februari lalu. - Sumber
Share this article :
Share this Article on :
PERINGATAN: SkuadPenyu.Blogspot.Com tidak bertanggungjawab terhadap komentar/pandangan yang diutarakan melalui laman sosial/weblog ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.
Comments
0 Comments
 

web statistics
Sports ExactSeek: Relevant Web Search My Zimbio Top  blogs My Ping in TotalPing.com
© Copyright Skuad Bola Sepak Negeri Terengganu 2013 -2014 | Design by Hamba Allah.