Info Terkini :

MB Cabar Pemain T-Team Sumpah Depan Al-Quran

Kuala Berang: Menteri Besar Datuk Seri Ahmad Said mencabar pemain dan pengurusan Johor Darul Ta'zim (Johor DT) yang beragama Islam bersumpah dengan al-Quran bagi mendedahkan kebenaran di sebalik insiden di terowong menuju bilik persalinan di Stadium Tan Sri Haji Hassan Yunos, Larkin, Johor Bahru dalam perlawanan pusingan Piala FA menentang T-Team, Sabtu lalu.

Katanya, beliau juga akan memanggil semua pemain T-Team termasuk Muhammad Irfan Abdul Ghani serta pihak pengurusan pasukan berstatus kelab itu untuk melakukan sumpah al-Quran di depannya sendiri dalam masa terdekat.

“Sebagai orang Islam saya ingin lihat perkara ini benar, saya juga minta Johor DT (pemain dan pengurusan) bersumpah al-Quran kerana kita orang Islam. Dengan cara ini kita dapat pastikan siapa yang benar.

“Saya akan turut panggil pasukan T-Team sama ada Isnin atau Selasa ini untuk dapatkan penjelasan sebenar dan akan minta pemain serta pihak pengurusan yang menyaksikan insiden itu agar bersumpah al-Quran di depan saya termasuklah Irfan,” katanya selepas melawat Kampung Pelandan, dekat sini, semalam.

Ahmad turut mempersoalkan kejujuran Irfan membuat laporan polis Rabu lalu apabila mendakwa tiada apa-apa berlaku ketika pemain dan pegawai kedua-dua pasukan berada di terowong stadium berkenaan.

“Adakah dia (Irfan) nampak sendiri apa yang berlaku? Saya difahamkan dia pemain simpanan dan sudah tentu kalau ikut proses biasa ketika rehat, dia tak masuk dalam terowong kerana perlu memanaskan badan di padang,” katanya.

Ahmad turut menempelak Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) yang menurutnya membuat keputusan tidak profesional dengan memberikan kemenangan 3-0 kepada Johor DT berikutan keengganan T-Team meneruskan perlawanan selepas mengambil kira aspek keselamatan pemain.

“Saya dapat tahu, keputusan dibuat mereka (FAM) berasaskan laporan dan komisioner perlawanan. Mungkin mereka (komisioner) tak terbabit dalam terowong dan tak tahu cerita sebenarnya. Sepatutnya jawatankuasa FAM teliti lebih mendalam.

“Takkanlah Terengganu (T-Team) bodoh sangat menarik diri tanpa alasan tertentu. Saya dimaklumkan mereka diiring keluar oleh polis dengan bas hingga ke Mersing. Sudah tentu ia membabitkan soal keselamatan dan perkara ini FAM patut ambil kira,” katanya.

Beliau juga membandingkan tindakan diambil badan induk itu membabitkan perlawanan antara Pahang dengan Johor DT tahun lalu yang akhirnya memutuskan diadakan perlawanan ulangan.

“Dulu pernah juga berlaku apabila penonton terlalu ramai ketika menyaksikan perlawanan antara Pahang dengan Johor DT, kemudiannya diadakan perlawanan ulangan, kenapa pula boleh? “Tapi saya memikirkan masa depan bola sepak Terengganu dan peminat sukan saya minta mereka teruskan pertandingan. Kalau kita tidak pentingkan bola sepak atau kepentingan peminat sukan, lebih baik tarik diri.

“Tak usah bertandinglah di Malaysia kerana saya lihat pengurusan bola sepak di negara ini tidak ke mana,” katanya. - Sumber
Share this article :
Share this Article on :
PERINGATAN: SkuadPenyu.Blogspot.Com tidak bertanggungjawab terhadap komentar/pandangan yang diutarakan melalui laman sosial/weblog ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.
Comments
0 Comments
 

web statistics
Sports ExactSeek: Relevant Web Search My Zimbio Top  blogs My Ping in TotalPing.com
© Copyright Skuad Bola Sepak Negeri Terengganu 2013 -2014 | Design by Hamba Allah.