Info Terkini :

Irfan Ghani Jujur Atau Pengkhianat T-Team?

Kuala Terengganu: Adakah bekas pemain pertahanan Johor Darul Ta'zim (Johor DT) musim lalu, Muhammad Irfan Abdul Ghani diugut atau dibayar?

Itu persoalan yang bermain di benak kebanyakan penyokong T-Team selepas pemain pasukan itu mengeluarkan kenyataan mendakwa tidak berlaku sebarang insiden pergaduhan dan kecederaan yang membabitkan pemain dan pegawai kelab dari Terengganu itu.

Jurucakap kelab penyokong bola sepak siber Terengganu Hamizul Ishak berkata, apa yang diluahkan pemain itu menimbulkan keraguan dan pihaknya berasakan ada sesuatu yang tidak kena dengan kenyataan pemain berusia 24 tahun dari Johor Bahru itu.

Hamizul berkata, pihaknya kesal dengan kenyataan diberikan pertahanan T-Team itu sedangkan dia menyarung jersi The Titans musim ini.

“Kami tahu dia berasal dari Johor, tapi jangan menidakkan perkara yang benar. Saya tidak mahu menuduh mana-mana pihak, tapi kami percaya ada sesuatu yang disembunyikan Irfan.

“Kami menyifatkan pemain ini sebagai pembelot. Justeru, saya harap pihak pengurusan T-Team mengambil tindakan sewajarnya terhadap pemain ini,” katanya.

Sementara itu, Ketua Pegawai Operasi T-Team, Syahrizan Mohd Zain berkata, pihaknya akan berbincang dengan pengurusan tertinggi mengenai hukuman yang akan dikenakan terhadap pemain itu.

Menurutnya, apa yang dilakukan pemain itu membolehkan pihak pengurusan mengambil tindakan terhadapnya.

Beliau diminta mengulas selepas pemain itu mengeluarkan kenyataan tiada pergaduhan dan kecederaan berlaku seperti mana dilaporkan ketika perlawanan pusingan kedua Piala FA antara Johor DT dan T-Team yang ditangguhkan Sabtu lalu.

“Apapun semua yang berlaku ini kita sudah serahkan kepada pihak polis untuk melakukan siasatan. Bagi kami ia perkara serius dan perlu diperhalusi sebelum sebarang keputusan dibuat,” katanya pada sidang media di pejabat T-Team di sini, semalam.

Syahrizan berkata, Irfan bukan pemain kesebelasan utama pasukan sebaliknya berada di bangku simpanan.

Menurutnya, kebiasaannya ketika rehat sebelum aksi babak kedua, pemain simpanan akan melakukan latihan di padang bersama pemain lain dan Irfan pastinya tidak berada di bilik persalinan sewaktu kejadian berlaku.

“Kejadian ini berlaku di terowong dan biasanya semua pemain simpanan berada di padang untuk memanaskan badan. Saya tidak tahu apa muslihat Irfan apabila memberikan kenyataan seperti itu,” katanya. - Sumber
Share this article :
Share this Article on :
PERINGATAN: SkuadPenyu.Blogspot.Com tidak bertanggungjawab terhadap komentar/pandangan yang diutarakan melalui laman sosial/weblog ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.
Comments
0 Comments
 

web statistics
Sports ExactSeek: Relevant Web Search My Zimbio Top  blogs My Ping in TotalPing.com
© Copyright Skuad Bola Sepak Negeri Terengganu 2013 -2014 | Design by Hamba Allah.