Info Terkini :

Isu Titans Cheerleaders, Jangan Fikir Negatif


Kuala Terengganu: Berita penubuhan pasukan sorak T-Team Titans (Titans Cheerleaders) yang disiarkan Arena semalam, mendapat kritikan hebat peminat bola sepak.

Ratusan komen di laman sosial seperti Facebook dan Twitter kelab penyokong bola sepak di negeri itu kebanyakannya menyelar idea itu kerana dianggap budaya barat dan kurang sesuai lantaran gadis sorak yang tidak bertudung.

Namun, lain pula pendirian penyokong pasukan jiran, Kelantan yang menganggap T-Team berjaya mengikuti perkembangan bola sepak semasa dengan mengikut jejak langkah The Red Warriors (TRW) dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) yang mempunyai pasukan sorak wanita mereka sendiri.

“Sudah sekian lama kami mempunyai ‘pom-pom girls’ di Kota Bharu dan gadis sorak kami agak menonjol pada musim lalu selepas menerima beberapa tajaan syarikat swasta yang mampu memeriahkan suasana terutama apabila bermain di gelanggang sendiri.

“Begitu juga dengan pasukan sorak The Gladiators yang saya lihat mampu menaikkan semangat ATM sehingga mereka juga memberi persembahan cemerlang dalam semua pertandingan musim lalu,” kata Presiden Kelab Penyokong TRW, Mohd Zainy Mohd Zain.

Menurutnya, sikap penyokong Kelantan terhadap kaum wanita yang hadir di Stadium Sultan Mohamad IV sudah jauh berubah berbanding sebelum tertubuhnya skuad sorak wanita.

“Kalau dulu, penonton wanita yang menjadi mangsa sorakan nakal majoriti penonton lelaki, namun sekarang stadium kami sudah menjadi kunjungan bukan saja wanita malah seisi keluarga dan mereka juga semakin selesa bertandang menyaksikan perlawanan.

“Sikap sebeginilah yang menjadikan kami pasukan yang mendapat sokongan padu seluruh warga Kelantan dan saya yakin, T-Team juga mampu mendapat sokongan sama sehingga satu hari nanti T-Team atau Terengganu turut berupaya muncul juara berganda seperti Kelantan,” katanya.

Pendapat Mohd Zainy turut dipersetujui jurucakap Kelab Penyokong Bola Sepak Ganucyber, Faizul Ngah yang mengaku kebanyakan penyokong T-Team tersalah anggap mengenai fungsi kumpulan sorak T-Team Titans.

“Saya rasa mereka terpengaruh dengan elemen negatif filem Hollywood apabila menganggap kumpulan sorak Titans sama seperti pasukan sorak ragbi Amerika ataupun bola keranjang yang mereka lihat di televisyen atau pawagam,” katanya.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif T-Team Ab Rasid Jusoh berkata, timbul salah faham dalam kalangan peminat mengenai peranan kumpulan sorak wanita itu.

“Kami bukannya bulat-bulat mencedok idea negara barat sebaliknya membuat penambahbaikan kepada idea itu agar dapat memajukan sukan bola sepak di negeri ini,” katanya. - Sumber
Share this article :
Share this Article on :
PERINGATAN: SkuadPenyu.Blogspot.Com tidak bertanggungjawab terhadap komentar/pandangan yang diutarakan melalui laman sosial/weblog ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.
Comments
0 Comments
 

web statistics
Sports ExactSeek: Relevant Web Search My Zimbio Top  blogs My Ping in TotalPing.com
© Copyright Skuad Bola Sepak Negeri Terengganu 2013 -2014 | Design by Hamba Allah.