Kuala Terengganu: Pemain baru T-Team, Mohd Faizal Muhamad tampil dengan tekad baru apabila berikrar melonjakkan pasukannya untuk berada dalam kelompok terbaik Liga Super musim ini.
Justeru, bekas pertahanan Harimau Muda A itu berkata, tugas berat bakal menantinya untuk menjulang T-Team apatah lagi baru bersama skuad itu pada penghujung musim lalu selepas dilepaskan pasukan Terengganu.
“Semua pasukan yang inginkan kejayaan, begitu juga T-Team, dengan barisan pemain yang lebih mantap berbanding musim lalu, impian untuk berada dalam kelompok terbaik liga dilihat lebih cerah. “Selain itu, saya juga berikrar mendapatkan sekurang-kurangnya satu piala,” katanya yang menyifatkan saingan memburu kejuaraan semakin sengit terutama dengan pertambahan kuota pemain import musim ini,” katanya.
Bagaimanapun pemain berasal dari Kampung Sentul Patah, Marang itu enggan mendabik dada kerana belum pasti disenaraikan dalam kesebelasan utama walaupun menjadi antara calon terbaik bagi mengisi posisi pertahanan tengah bersama Marzuki Yusof.
Musim lalu pemain berusia 25 tahun itu yang turut diberi tanggungjawab sebagai kapten kerap memanas bangku simpanan ketika di bawah kendalian E Elavarasan selepas beraksi tidak konsisten terutama di penghujung musim.
“Saya tidak mahu mengulangi kegagalan musim lalu dan berharap penghijrahan ini akan membuka lembaran baru buat saya,” katanya. - Sumber