Kuala Terengganu: Peminat pasukan Liga Super Terengganu dan T-Team bakal berpeluang memenangi hadiah bertuah sempena majlis menandatangani kontrak pemain kedua-dua pasukan pada jam 8 malam, 11 Januari ini di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah.
Selain itu, peminat juga bakal dihidangkan dengan perlawanan persahabatan antara kedua-dua pasukan sebaik majlis menandatangani kontrak pemain selesai.
Pengurus pasukan Terengganu Marzuki Sulong berkata, hadiah yang bakal diberikan kepada peminat bertuah adalah sebagai tanda terima kasih kerana setia memberikan sokongan kepada pasukan.
“Selain berpeluang memenangi hadiah, peminat juga dapat melihat pemain kesayangan mereka dengan lebih dekat dalam misi menarik lebih ramai peminat membanjiri stadium setiap kali pasukan dari Terengganu beraksi sama ada di laman sendiri ataupun lawan.
“Pada majlis itu juga, pemain Piala Presiden kedua-dua pasukan juga turut hadir menandatangani kontrak dan seterusnya sesi memperkenalkan jersi pasukan Liga Super dan Presiden,” katanya.
Marzuki yang juga Naib Presiden Persatuan Bola Sepak Negeri Terengganu (PBSNT) berkata, penaja yang terbabit dengan pasukan juga akan diperkenalkan pada malam itu sebagai menghargai sumbangan yang dihulurkan.
“PBSNT berharap peminat membanjiri stadium pada malam itu sebagai tanda sokongan selain berpeluang memenangi hadiah yang disediakan,” katanya.
Mengenai perlawanan persahabatan pra musim yang dilalui pasukan Terengganu di Indonesia selama dua minggu bulan lalu, Marzuki berkata secara keseluruhannya PBSNT menarik nafas lega melihat corak yang dipamerkan pemain walaupun ramai muka baru dalam skuad termasuk tonggak import.
“Pada perlawanan persahabatan itu, Terengganu menewaskan kelab Matador FC 3-2 manakala tiga lagi berakhir dengan keputusan seri dengan kelab Gresik 2-2, Arema FC 1-1 dan Perseba Bangkalan juga 1-1.
“Keserasian yang dipamerkan pemain tempatan dengan import semakin terserlah dan diharap ia memberi petanda positif buat pasukan untuk mengintai sekurang-kurangnya satu trofi musim ini,” katanya. - Sumber