Kuala Terengganu: Jika sebelum ini rumah mantan Presiden Persatuan Bolasepak Negeri Terengganu (PBSNT) Datuk Che Mat Jusoh pernah dibaling batu peminat fanatik kerana tidak puas hati terhadap prestasi skuad negeri, kini presiden baru PBSNT Datuk Wan Ahmad Nizam Abdul Hamid sudah membayangkan cabaran hebat bakal menantinya.
“Saya akui bukan tugas mudah untuk membawa cabaran Terengganu musim ini menjulang sekurang-kurangnya satu trofi, namun saya tekad dan akan berusaha merealisasikan matlamat itu apatah lagi ia turut menjadi sasaran kerajaan negeri,” kata Wan Ahmad Nizam ketika ditemui di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, kelmarin.
Beliau berkata, keyakinan itu berdasarkan barisan pemain sedia ada selain mempunyai ketua dan penolong jurulatih berpengalaman yang pernah melatih kelab luar negara.
“Sebahagian besar pemain skuad ini pernah menempa kejayaan, begitu juga dengan jurulatih Abdul Rahman Ibrahim serta pembantunya Ahmad Yusof, jadi kombinasi pemain dan jurulatih ini ia menjadi aset berharga kebangkitan Terengganu musim ini,” katanya.
Selain nama besar seperti Mohd Ashari Shamsuddin, Ismail Faruqi Ashari, Abdul Manaf Mamat dan Muhamad Zuber Mohd Azmi, Terengganu turut mengikat 11 pemain baru termasuk empat import yang membabitkan Vincent Bikana (Cameroon), Marcio Souza (Brazil), Mario Karlovic (Australia) dan Mamadou Hady Bary (Guinea).
“PBSNT yakin gandingan pemain tempatan dan import itu semakin serasi dan mampu membentuk pasukan mantap untuk memberi cabaran dan membawa pulang piala,” katanya.
Bagaimanapun, beliau tidak mahu bercakap besar sebaliknya mengakui ia bukan tiket mudah memburu kejayaan.
“Namun jika pemain beraksi dengan penuh komitmen selain sokongan padu penyokong, tidak mustahil ia mampu dicapai,” katanya. - Sumber