Info Terkini :

Zairo, Norfarhan, Faiz Nadi Pasukan Terengganu

"Zairo Anuar, Norfarhan Muhammad & Faiz Subri turun menjalani latihan bersama pasukan Terengganu" Gambar: Anok Tranung

Kuala Terengganu: Bekas penyerang berbisa Kelantan, Norfarhan Muhammad bersama dua lagi tonggak pasukan itu, Zairo Anuar Zailani dan Faiz Subri kini bakal menjadi nadi utama Terengganu dalam mengibar cabaran Liga-M musim depan.

Norfarhan yang dinobat penyerang terbaik pada Anugerah Bola Sepak Kebangsaan 2013 bersama dua rakannya dari pasukan The Red Warriors itu sudah mula menjalani latihan di bawah kendalian Abdul Rahman Ibrahim.

Dia yang digelar ‘Ben 10’ menimbulkan kontroversi selepas didakwa melanggar kontrak apabila menandatangani kontrak bersama Johor Darul Takzim (JDT) sebelum membuat ‘pusingan U’ untuk menyertai pasukan Terengganu.

Pemain kelahiran Wakaf Tapai, Marang itu berdepan tindakan daripada Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) selepas menerima aduan secara rasmi daripada Persatuan Bola Sepak Negeri Johor (PBNJ).

Sebelum ini, Presiden PBNJ Tunku Ismail Sultan Ibrahim berkata, Norfarhan boleh beraksi dengan mana-mana pasukan tetapi persatuan yang mahukan pemain itu perlu membayar nilai yuran perpindahan dan kontrak untuk semusim berjumlah RM490,000.

Selain Norfarhan, Terengganu turut diperkuat dua lagi tonggak The Red Warriors iaitu pemain tengah, Zairo dan Mohd Faiz.

Pasukan itu juga berjaya mendapatkan semula penjaga gawang yang beraksi bersama Selangor, Sarbinee Allawee Ramli, pertahanan T-Team, Mazlizam Mohamad, dua pemain PKNS Selangor, Ahmad Azlan Zainal dan Mohd Nor Hakim serta penyerang skuad Harimau Muda, Izzaq Faris Ramlan.

Sementara itu, Persatuan Bola Sepak Negeri Terengganu (PBSNT) bakal menguji lima pemain import bagi mencari penyerang berkualiti untuk diserapkan ke dalam skuad Penyu.

Lima pemain berasal dari Perancis, Ghana dan Ivory Coast akan diuji dalam tempoh terdekat dalam latihan dan perlawanan persahabatan yang akan diatur.

Timbalan Presiden PBSNT Marzuki Sulong berkata, pasukan Terengganu hanya memiliki seorang pemain import pertahanan, Vincent Bikana selepas tidak melanjutkan kontrak penyerang dari Cameroon, Jean-Emmanuel Effa Owana.

“Buat masa ini, dua penyerang iaitu Marcio Souza de Silva dan Moussa Koita sudah menjalani latihan untuk sesi pemilihan. Kita sudah menguji beberapa penyerang import, tetapi semua yang datang tidak menepati ciri yang dikehendaki,” katanya. - Sumber
Share this article :
Share this Article on :
PERINGATAN: SkuadPenyu.Blogspot.Com tidak bertanggungjawab terhadap komentar/pandangan yang diutarakan melalui laman sosial/weblog ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.
Comments
0 Comments
 

web statistics
Sports ExactSeek: Relevant Web Search My Zimbio Top  blogs My Ping in TotalPing.com
© Copyright Skuad Bola Sepak Negeri Terengganu 2013 -2014 | Design by Hamba Allah.