Kuala Terengganu: Pengurusan skuad Terengganu masih memberi peluang kepada tujuh awang import yang sedang diuji untuk diserapkan dalam pasukan menghadapi saingan Liga M musim depan.
Ini berikutan mereka baru tiba beberapa hari lalu terdiri daripada tiga dari Australia iaitu Barisic Andrew Nicolas, Andreas Govas dan Mario Karlovic, Keisuke Ogowa (Jepun), Damir Vidovic (Croatia), Paul Mulders (Filipina) serta Oliver Karekezi (Rwanda)
Mereka diturunkan dalam perlawanan persahabatan pertama dan kedua menentang T-Team di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, selasa lalu yang mana keenam-enam pemain terbabit mempamerkan keupayaan masing-masing bagi menarik perhatian panel pemilihan.
Bagaimanapun, pada perlawanan persahabatan pertama hanya Govas dan Karlovic yang beraksi di bahagian tengah memperagakan aksi meyakinkan sehingga memukau ribuan penyokong yang menyaksikan pertarungan pasukan ‘dua beradik’ berkenaan.
Pada perlawanan itu, Terengganu menang 2-0 hasil dua jaringan Mohd Ashaari Samsuddin pada minit ke-56 dan seminit kemudia menerusi tandukan.
Khamis lalu, pada aksi perlawanan persahabatan yang kedua juga berkesudahan kemenangan berpihak kepada pasukan Terengganu dengan 2-0 dijaringkan oleh Nor Hakim dan pemain import dari Rwanda, Oliver Karekezi hasil daripada sepakan percuma yang di ambil oleh Mario Karlovic.
"Aksi kedua-dua pemain ini memikat hati sebilangan penonton yang mahukan mereka beraksi bersama Skuad Penyu musim depan"
Sementara itu, pengendali Terengganu, Abdul Rahman Ibrahim menganggap aksi persahabatan itu tidak lebih daripada sekadar menguji pemain import selain memberi pendedahan awal kepada pemain tempatan.
Menurutnya, perlawanan persahabatan itu juga adalah medan buat pemain import mempamerkan aksi mereka dan buat masa sekarang beliau tidak dapat menilai lebih jauh kemampuan kerana beraksi dalam hujan.
“Saya berpendapat masih terlalu awal untuk membuat sebarang kesimpulan mengenai keupayaan mereka dan pasukan ketika ini,” katanya.
"Ketiga-tiga pemain import T-Team ini bakal diuji pada perlawanan persahabatan seterusnya menentang Terengganu 26 November ini"
Terengganu dan T-Team akan bertemu lagi pada aksi persahabatan pada 26 November ini, dimana T-Team juga akan menurunkan ketiga-tiga pemain import mereka iaitu Patrich Wanggai, Fabio Flor dan Ivan Parlov bagi menguji keserasian bersama pasukan.