Info Terkini :

Saya Sedia Jumpa FAM - Khairy Jamaluddin

KUALA LUMPUR - ''Saya tidak ada masalah untuk jumpa sesiapa, seelok-eloknya daripada pengurusan tertinggi iaitu pembuat keputusan.''

Itulah penjelasan yang diberikan Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin selepas menyatakan persetujuan untuk bersemuka dengan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) membincangkan isu pembangunan bola sepak negara.

Menurut Khairy, beliau juga tidak meletakkan sebarang syarat untuk berjumpa dengan wakil FAM dan dalam masa yang sama sebarang polemik boleh diketepikan buat sementara waktu kerana beliau harus menumpukan kepada pembentangan pelan pembangunan bola sepak negara yang akan dilancarkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak Januari depan.

"Sebelum memuktamadkan pelan tersebut saya perlu bentang kepada FAM terlebih dahulu tetapi ia tidak melibatkan skuad senior kebangsaan dan Liga Malaysia tetapi tertumpu kepada pembangunan peringkat umur, jadi saya minta akan minta tarikh kepada FAM, mengenai wakil pula terpulang kepada Presiden, Sultan Ahmad Shah," katanya selepas mengadakan lawatan rasmi ke Majlis Olimpik Malaysia (MOM) di sini, semalam.

Beliau diminta mengulas cadangan Pengerusi Jawatankuasa Status Pemain FAM, Datuk Takiyuddin Hassan yang meminta Khairy berhenti mengkritik FAM secara terbuka, sebaliknya mengatur satu mesyuarat atau pertemuan dengan barisan Exco badan tersebut bagi membincangkan masalah yang timbul.

Kata Khairy, ketika membentang pelan pembangunan bola sepak negara, beliau mungkin akan membincangkan tentang beberapa cadangan untuk menambah baik perjalanan pengurusan FAM.

"Ia sama seperti hari ini (semalam) di mana saya menghubungi Presiden Majlis Olimpik Malaysia (MOM), Tan Sri Tunku Imran Tuanku Ja'afar dan kami membincangkan pelbagai perkara dan langkah yang perlu dilakukan untuk penambahbaikan," jelasnya.

Ditanya mengenai kenyataan bekas pemain bola sepak kebangsaan, Datuk Jamal Nasir Ismail yang tersinggung dengan kritikannya terhadap FAM, Khairy berkata, perkara tersebut biarlah antara FAM dan dirinya sendiri sebagai menteri dan pada masa yang sama beliau meminta agar Jamal Nasir tidak mencampuri urusan tersebut.

Dalam laporan sebuah akhbar tempatan sebelum itu, Jamal Nasir melahirkan rasa tersinggung apabila ada pihak, apa lagi menteri yang bertanggungjawab terhadap sukan negara, mengkritik secara melulu seolah-olah mahu melepaskan geram kepada individu tertentu dalam badan induk bola sepak itu.

Khairy juga mengakui bahawa sistem tempat duduk bernombor terutama dalam perlawanan penting seperti saingan akhir Piala FA dan Piala Malaysia adalah sesuatu yang bukan mustahil untuk dijalankan di Malaysia seperti mana yang berlaku di England.

"Ia adalah cadangan yang perlu dipertimbangkan oleh FAM kerana sistem yang ada sekarang tidak cukup baik, ia juga diakui sendiri oleh FAM sendiri, kita mahu mencari sistem yang baik bukan mengkritik sebarangan.

"Kita mahu sistem yang baik dari segi penjualan tiket dan tempat duduk. Itulah yang kita mahu dari FAM," ujarnya.

Dalam pada itu, Khairy turut yakin bahawa skuad bola sepak bawah 23 tahun negara mampu untuk mempertahankan pingat emas Sukan SEA di Myanmar bulan depan. - Sumber
Share this article :
Share this Article on :
PERINGATAN: SkuadPenyu.Blogspot.Com tidak bertanggungjawab terhadap komentar/pandangan yang diutarakan melalui laman sosial/weblog ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.
Comments
0 Comments
 

web statistics
Sports ExactSeek: Relevant Web Search My Zimbio Top  blogs My Ping in TotalPing.com
© Copyright Skuad Bola Sepak Negeri Terengganu 2013 -2014 | Design by Hamba Allah.