Kuala Lumpur: Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) tetap percaya dengan ‘magis’ pengendali bawah 23 tahun negara Datuk Ong Kim Swee untuk mempertahankan pingat emas Sukan SEA Myanmar walaupun dibayangi masalah kecederaan beberapa pemain tonggak.
Laungan keyakinan berkenaan disuarakan pengurus Datuk Seri Afandi Hamzah susulan kecederaan terbaru yang membelenggu seorang lagi pemain tonggak Harimau Muda A, Syahrul Azwari Ibrahim selepas pengendali berusia 43 tahun itu turut kehilangan Wan Zack Haikal Wan Noor, Fandi Othman dan Gary Steven Robbat pada saingan yang dijadualkan bermula pada 10 Disember nanti.
“Sememangnya kecederaan pemain utama akan memberikan kesan kepada pasukan namun kami masih mempunyai masa untuk mempersiapkan pasukan.
“Saya yakin dengan kemampuan Kim Swee membentuk pasukan mantap menjelang temasya sebenar pada bulan depan,” katanya ketika ditemui pada mesyuarat pengurus pasukan Sukan SEA semalam.
Pada edisi 2011 di Indonesia, skuad muda negara berjaya mempertahankan pingat emas dimenangi pada edisi 2009 apabila menewaskan tuan rumah di final hasil percaturan berani dan bijak Kim Swee seperti perubahan posisi kerana mempunyai pemain yang terhad selepas kehilangan beberapa tonggak akibat kecederaan.
“Saya lihat pemain dalam senarai kali ini begitu bersemangat untuk membuktikan kemampuan masing-masing dengan 20 pemain terbaik akan diumum Kim Swee selepas dapat mengumpulkan semua pemain terutama apabila beberapa pemain yang berada dalam skuad senior bagi kelayakan Piala Asia 2015 kembali menyertai kem latihan skuad muda negara,” katanya yang juga naib presiden FAM.
Barisan pemain muda negara kini berada di Jordan untuk dua persahabatan menentang skuad bawah 22 tahun negara itu sebelum pulang ke tanah air dan bakal mengadakan dua perlawanan kompetitif terakhir sebelum terbang ke Myanmar.
Skuad negara diundi dalam Kumpulan A bersama Singapura, Vietnam, Laos dan Brunei dengan tuan rumah, Myanmar berada dalam Kumpulan B bersaing dengan Thailand, Singapura, Indonesia dan Timor Leste untuk merebut dua tiket ke separuh akhir setiap kumpulan.
“Saya jangka persaingan kali ini lebih sengit berbanding di Indonesia namun percaya Kim Swee turut mempunyai perancangan terbaik. Saya harap kejohanan kali ini berlangsung penuh semangat kesukanan dengan pasukan terbaik muncul juara di Myanmar nanti,” katanya. - Sumber