Info Terkini :

Jangan Cepat Panik - Ong Kim Swee

KUALA LUMPUR: Dibaham 5-0 oleh Jordan dalam aksi persahabatan tidak perlu disambut dengan nada panik menjelang Sukan SEA Myanmar 2013 bulan depan.

Menurut jurulatih skuad Harimau Muda A, Datuk Ong Kim Swee, itu bukanlah persembahan sebenar anak-anak buahnya kerana ramai pemain utama mengalami kecederaan ketika itu.

Katanya, mereka semua akan lebih bersedia sebaik sahaja bermulanya Sukan SEA nanti dalam misi mempertahankan pingat emas yang dimenangi pada dua edisi lalu iaitu di Laos dan Indonesia.

Pada masa yang sama, beliau mengingatkan bahawa Jordan adalah lawan yang kuat dan berharap kekalahan itu akan menjadi pedoman terbaik kepada para pemainnya untuk memperoleh sesuatu berguna daripada dua perlawanan persahabatan di Amman.

''Kebanyakan pemain saya turunkan terdiri daripada mereka yang berada dalam senarai simpanan memandangkan kebanyakan pemain utama dilanda masalah kecederaan dan terbabit dengan skuad kebangsaan (Harimau Malaya).

''Harap semua pihak jangan cepat panik dengan dua kekalahan ini kerana tujuan kami ke sana adalah untuk mendapatkan pendedahan bagi pemain-pemain secara keseluruhan walaupun keputusannya mungkin mengecewakan.

''Satu lagi, kita kena ingat apabila menentang sebuah pasukan seperti Jordan, salah sebuah pasukan terbaik di Asia Barat. Kita tidak boleh bandingkan dengan tahap pasukan-pasukan di benua Asia Tenggara, jelas nampak perbezaan ketara jika kita tidak turunkan skuad terbaik," katanya ketika dihubungi sebaik sahaja tiba di Kuala Lumpur, semalam.

Dalam aksi pertama pada 12 November, Harimau Muda kalah 1-3 kepada Jordan sebelum dibelasah 0-5 dalam aksi persahabatan kedua, Khamis lalu.

Jika dibandingkan dengan jentera serangan dan tengah, pertahanan menjadi bahagian paling meruncing apabila kehilangan Mohd. Fadhli Shas dan Nik Shahrul Mohd. Azim yang dibelenggu kecederaan.

Itu menjadi perkara paling merisaukan Kim Swee kerana dua pemainnya yang lain di bahagian pertahanan tengah iaitu Mohd. Amer Saidin dan Wan Amirzafran Wan Nadris baru sahaja pulih daripada masalah kecederaan.

Kedua-dua pemain tersebut, Amer dan Wan Amirzafran jelas beraksi sedikit buruk apabila gagal mengekang jentera serangan Jordan di samping sering kali salah faham dengan penjaga gol, Mohd. Farhan Abu Bakar di dalam kotak penalti.

''Masalah ini sering kali menimpa kepada pemain-pemain saya, kesilapan yang serupa dan mudah terus dilakukan, sudah tiba masanya mereka semua bersikap serius kerana Sukan SEA kurang sebulan dari sekarang.

''Memang ada segelintir pemain saya kurang menunjukkan kesungguhan, sikap ini tidak boleh berlaku lagi dan saya harap mereka semua dapat mengambil sesuatu yang berguna dalam kedua-dua perlawanan di Jordan bagi menghadapi saingan Sukan SEA," katanya. - Sumber
Share this article :
Share this Article on :
PERINGATAN: SkuadPenyu.Blogspot.Com tidak bertanggungjawab terhadap komentar/pandangan yang diutarakan melalui laman sosial/weblog ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.
Comments
0 Comments
 

web statistics
Sports ExactSeek: Relevant Web Search My Zimbio Top  blogs My Ping in TotalPing.com
© Copyright Skuad Bola Sepak Negeri Terengganu 2013 -2014 | Design by Hamba Allah.