Info Terkini :

Daftar Import 4 Disember, Tempatan 17 Disember

PERSATUAN Bola Sepak Malaysia (FAM) menetapkan 31 Disember depan sebagai tarikh akhir bagi semua Persatuan Negeri mendaftarkan pasukan yang akan beraksi dalam saingan Liga Malaysia (Liga-M) musim depan.

Pengerusi Jawatankuasa Pertandingan Tempatan FAM, Datuk Afandi Hamzah berkata, bagi pendaftaran pemain tempatan mesyuarat memutuskan pada 17 Disember dan pemain import pada 4 Disember sebagai tarikh akhir.

"Bagi pendaftaran kedua, FAM menetapkan tempoh sebulan bermula 23 Mac hingga 22 April bagi pemain tempatan dan asing.

"Langkah ini membolehkan pasukan mengenal pasti pemain berkualiti untuk didaftarkan dalam pasukan masing-masing.

"Jadi, saya berharap semua pasukan menyelesaikan masalah pemain khususnya pemain import kerana kita tidak mahu mempunyai sebarang masalah di belakang hari," katanya selepas mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Pertandingan Tempatan FAM di Wisma FAM semalam.

Afandi yang juga Naib Presiden FAM memaklumkan bahawa saingan musim depan bagi Liga Super membabitkan 12 pasukan, bagaimanapun untuk Liga Premier berkemungkinan 13 pasukan terlibat.

"Musim depan, kita menerima pengesahan 12 pasukan (Liga Super dan Liga Premier) namun ada penambahan di mana pasukan Harimau Muda B kemungkinan beraksi dalam Liga Perdana.

"Penyertaan Harimau Muda B dalam saingan Liga Singapura akan diganti Harimau Muda A.

"Jadi untuk Liga Premier akan menjadi 13 pasukan, bagaimanapun ia tertakluk kepada pasukan tersebut," ujarnya.

Dalam perkembangan lain, Afandi  turut mengumumkan undian Liga-M akan dilakukan pada 23 November di mana saingan musim depan akan dimulakan dengan Piala Sumbangsih antara pasukan Lions XII menentang Pahang di Stadium Shah Alam pada 17 Januari depan.

"Untuk musim depan kita akan mulakan persaingan pembuka tirai Piala Sumbangsih yang ditetapkan pada 17 Januari 2014 (Jumaat).

"Mengikut peraturan perlawanan ini akan mempertemukan pasukan yang menjuarai Liga Super dan juara Piala Malaysia di Stadium Shah Alam.

"Dalam perlawanan itu juga, kita mencadangkan satu pembaharuan baru dalam Piala Sumbangsih di mana bagi menimbulkan nilai kompetitif dalam perebutan ini, kita telah bersetuju untuk mencadangkan Piala Sumbangsih itu menjadi perlawanan pertama untuk liga bagi Pahang dan Lions XII.

"Sekiranya seri, tewas atau menang dalam 90 minit perlawanan mata akan tetap dikira untuk liga, namun tendangan penalti akan dilakukan bagi menentukan juara Piala Sumbangsih 2014.

"Jadi saya kira dengan pembaharuan ini, nilai persaingan piala itu akan lebih menimbulkan persaingan di mana selain perebutan piala ia juga akan melibatkan perubahan mata," katanya.

"Bagi Liga Premier, kita tetapkan 24 Januari dan Piala FAM akan bermula pada Mac.

Setakat hari ini kita telah menerima permohonan sebanyak 11 pasukan dan kita masih buka permohonan dan tarikh tutup penyertaan ialah Disember ini.

"Untuk Piala Belia, kita masih mengekalkan format seperti mana tahun ini cuma memandangkan kita sudah ke utara dan pantai timur jadi sekarang kita akan ke selatan tanah air.

"Oleh itu, FAM akan memberi penghormatan kepada Persatuan Bola Sepak Melaka (Mafa) untuk menjadi tuan rumah dan kita akan memaklumkan perkara ini kepada mereka. Sekiranya ia dipersetujui maka Melaka akan menjadi tuan rumah untuk Piala Belia," katanya. - Sumber
Share this article :
Share this Article on :
PERINGATAN: SkuadPenyu.Blogspot.Com tidak bertanggungjawab terhadap komentar/pandangan yang diutarakan melalui laman sosial/weblog ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.
Comments
0 Comments
 

web statistics
Sports ExactSeek: Relevant Web Search My Zimbio Top  blogs My Ping in TotalPing.com
© Copyright Skuad Bola Sepak Negeri Terengganu 2013 -2014 | Design by Hamba Allah.