Info Terkini :

Revolusi baru Liga Malaysia

Topik hangat yang mewarnai bola sepak tempatan sepanjang minggu lalu tentunya mengenai Bengkel Penswastaan Liga Malaysia (Liga M).

Bagi pihak Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), saya ucapkan terima kasih kepada Pengerusi Jawatankuasa Pertandingan Tempatan Datuk Afandi Hamzah, kakitangan jabatan pertandingan dan UiTM selaku hos bengkel.
Buat kali pertama pemegang kepentingan bola sepak tempatan duduk semeja membincangkan hala tuju liga dan cabaran menswastakan Liga M.

Pentadbir, penggiat bola sepak, wakil penaja, wakil media dan wakil penyokong membuat pembentangan masing-masing untuk memberi pandangan secara terbuka.

Di sini, saya ingin berkongsi sedikit sejarah mengenai usaha-usaha yang dilakukan FAM dan persatuan bola sepak negeri sejak dua dekad lalu.


Jika pembaca masih ingat, Liga Nasional dilancarkan pada 1992 untuk mewujudkan saingan kompetitif peringkat kelab. Antara kelab yang bertanding ialah Hong Chin, DBKL, PKNS dan BSN manakala liga itu dikendalikan Super Club Sdn Bhd.

Di peringkat negeri, tentu peminat Kelantan ingat Ringgit Kreatif dan Kota Darulnaim Sdn Bhd (KDSB) yang mengikat kontrak dengan KAFA untuk mengendalikan pasukan.

Kemudian ada juga usaha menggabungkan penaja dengan pasukan negeri seperti NS Naza.

Namun usaha-usaha murni yang disebut di atas berdepan cabaran dan kekangan. Super Club Sdn Bhd gagal menarik minat penaja manakala syarikat yang mengurus pasukan negeri Kelantan bertelagah dengan persatuan. Penaja pula memutuskan tidak mahu meneruskan tajaan.

MSL Sdn Bhd pula diwujudkan sebagai cabang pemasaran FAM pada 2005 dengan niat menjadikannya sebagai badan bebas mengurus liga namun ia juga tidak menjadi realiti.

Sepanjang dua dekad lalu, pelbagai usaha di luar kotak diperkenalkan. Namun pada saya kebanyakan pemegang kepentingan belum bersedia dengan penswastaan liga.

Kini bola sepak tempatan sudah sedia mengorak langkah.

Bengkel penswastaan Liga M memberi petanda semua pihak berkepentingan sudah sedia melaksanakan satu revolusi. Projek yang terbengkalai dihidupkan semula.
Selain teruja dengan ketetapan diambil, saya sedar FAM perlu menyahut cabaran Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC).

Antara persoalan yang timbul, apakah entiti berbeza atau badan bebas mengendalikan liga harus diwujudkan sebagai entiti perundangan atau entiti komersial.

Entiti perundangan membawa maksud syarikat berstrukturkan Ahli Lembaga Pengurusan dianggotai wakil kelab selain penyata kewangan yang diaudit. Model ini dilaksana di Jerman, Jepun dan Korea Selatan.

Entiti komersial pula bermaksud mana-mana pihak seperti kerajaan, swasta, persatuan negeri atau kelab membentuk kumpulan syarikat pemegang saham. Model ini dilaksana di Belanda, England, China dan Thailand.

Apakah model yang harus kita susuri? Itulah yang harus kita fikirkan pada masa ini! - Sumber
Share this article :
Share this Article on :
PERINGATAN: SkuadPenyu.Blogspot.Com tidak bertanggungjawab terhadap komentar/pandangan yang diutarakan melalui laman sosial/weblog ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.
Comments
0 Comments
 

web statistics
Sports ExactSeek: Relevant Web Search My Zimbio Top  blogs My Ping in TotalPing.com
© Copyright Skuad Bola Sepak Negeri Terengganu 2013 -2014 | Design by Hamba Allah.