Info Terkini :

Hantar Laporan Integriti : Hamidin

Semua persatuan bola sepak negeri perlu menghantar laporan masalah integriti setiap tiga bulan sekali kepada Jawatankuasa Integriti Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM).

Setiausaha Agung FAM, Datuk Hamidin Mohd Amin berkata kesemua laporan daripada persatuan negeri akan dikepilkan bersama untuk dibincangkan secara lebih lanjut dalam mesyuarat jawatankuasa berkenaan.

"Menerusi laporan yang kita terima daripada persatuan negeri, kita bakal mendapat gambaran yang jelas mengenai isu atau permasalahan berkaitan integriti yang berlaku di peringkat negeri masing-masing," katanya.

Hamidin berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas mesyuarat khas jawatankuasa berkenaan bersama ahli jawatankuasa integriti peringkat negeri yang dipengerusikan oleh Tan Sri Aseh Che Mat di Pusat Maritim Putrajaya, di sini, Khamis.

Dalam pada itu, Hamidin mendedahkan FAM akan menubuhkan skuad pemantau dalam tempoh terdekat bagi memantau sesetengah perlawanan Liga Malaysia yang dikategorikan 'mencurigakan'.

Katanya, skuad pemantau berkenaan bakal dianggotai oleh wakil daripada Polis Diraja Malaysia (PDRM), Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), wakil persatuan bola sepak negeri serta FAM sendiri.

Pada masa yang sama, Hamidin berkata badan induk bola sepak kebangsaan itu bercadang untuk mengadakan lebih banyak bengkel kesedaran mengenai ancaman rasuah bola sepak dan gejala mengatur perlawanan terutamanya kepada para pegawai dan pemain bola sepak.

"Itu perkara mustahak yang perlu dilakukan oleh FAM (dalam usaha kita mendidik para pemain dan pegawai mengenai bahaya rasuah bola sepak) dan selebihnya kita serahkan kepada PDRM dan SPRM," katanya.

Dalam perkembangan berasingan, Hamidin berkata kesemua pemain yang beraksi dalam Liga Malaysia bermula tahun depan diwajibkan mengisi borang pengisytiharan harta yang dikepilkan bersama dengan surat kontrak yang bakal ditandatangani oleh pemain berkenaan.

"Bukan sahaja para pemain tetapi para pegawai pasukan (bola sepak negeri) dan pengadil yang terlibat dalam Liga Malaysia juga harus mengisi borang pengisytiharan harta itu...Itu yang kita putuskan," katanya. - Sumber
Share this article :
Share this Article on :
PERINGATAN: SkuadPenyu.Blogspot.Com tidak bertanggungjawab terhadap komentar/pandangan yang diutarakan melalui laman sosial/weblog ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.
Comments
0 Comments
 

web statistics
Sports ExactSeek: Relevant Web Search My Zimbio Top  blogs My Ping in TotalPing.com
© Copyright Skuad Bola Sepak Negeri Terengganu 2013 -2014 | Design by Hamba Allah.