Info Terkini :

Skuad Penyu Dan Harimau Selatan Sama Tumpul

Kuala Terengganu: Terengganu memilih laluan sukar untuk melangkah ke separuh akhir selepas sekadar seri 0-0 dalam saingan suku akhir pertama dengan Johor Darul Tak’zim (Johor DT) di depan lebih 10,000 penonton sendiri di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, di sini, malam tadi.

Terengganu yang menurunkan kesebelasan terbaik bermula garang dengan memperoleh sepakan percuma pada minit ke-4 namun tendangan pemain import Mario Karlovic gagal menembusi gawang pelawat.

Dua minit berselang, tuan rumah sekali lagi mendapat sepakan percuma selepas bola terkena tangan pertahanan pelawat dan tendangan Ismail Faruqi Ashari sedikit melewati palang gol.




Tuan rumah yang menguasai permainan terus melakukan asakan menerusi gandingan tiga serangkai Abdul Manaf Mamat, Mohd Nor Farhan Muhamad dan Mohd Ashari Samsuddin namun belum menemui sentuhan jaringan biarpun mendapat sepakan percuma ketiga.

Tersentak dengan asakan tuan rumah, pelawat mula memperkemaskan jentera serangan dan pada minit ke-11, penyerang import Gabriel Figueroa nyaris meletak pasukannya di depan selepas sepakan leretnya sedikit tersasar di sebelah kiri pintu gol.

Usaha berterusan skuad Peteh Terengganu Peteh itu untuk mencari jaringan sulung masih gagal meskipun empat percubaan menerusi penyerang kebangsaan Mohd Nor Farhan, Mohd Ashari, Ismail Faruqi dan Karlovic menerusi sepakan percuma keempat hampir menembusi kekebalan benteng skuad Harimau Selatan itu.

Ketika skuad Terengganu mengendurkan sedikit asakan, pelawat mengambil kesempatan melakukan tiga serangan balas menerusi Mohd Amri Yahyah, Mohd Syafiq Rahim dan Hariss Harun pada empat minit terakhir namun gagal menewaskan benteng terakhir yang dikawal Mohd Sharbinee Allawee Ramli.

Bersambung babak kedua, pelawat memperoleh peluang terbaik untuk mendahului menerusi tandukan Figueroa hasil sepakan sudut pada minit ke-64 dan menerusi pemain gantian Mohd Amirulhadi Zainal pada minit ke-85, namun masih belum menemui jaringan.

Pasukan tuan rumah juga memperoleh dua peluang menarik menerusi Mohd Ashari dan Karlovic, namun masih gagal mencari gol pertama.


Perubahan taktikal serta kemasukan Zairo Anuar Zailani dan Mohd Faiz Subri berjaya menghidupkan enjin pasukan tuan rumah namun sentuhan jaringan diharapkan masih tidak kunjung tiba sehingga tamat perlawanan.
Share this article :
Share this Article on :
PERINGATAN: SkuadPenyu.Blogspot.Com tidak bertanggungjawab terhadap komentar/pandangan yang diutarakan melalui laman sosial/weblog ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.
Comments
0 Comments
 

web statistics
Sports ExactSeek: Relevant Web Search My Zimbio Top  blogs My Ping in TotalPing.com
© Copyright Skuad Bola Sepak Negeri Terengganu 2013 -2014 | Design by Hamba Allah.