Info Terkini :

T-Team Titans Mula Susun Langkah Awal

SEJAK bergelut di dalam zon penyingkiran saingan Liga Super musim lalu, pasukan berstatus kelab T-Team akhirnya terpaksa mengangkat ‘bendera putih’ apabila terpaksa turun takhta ke Liga Premier musim depan bersama satu lagi pasukan kelab Selangor PKNS musim depan.

Begitu pun skuad The Titans itu berjaya meloloskan diri dalam aksi Piala Malaysia musim ini setelah menundukkan Negeri Sembilan 1-0 dalam aksi ‘play off’ di Stadium Shah Alam, bagaimanapun hajat untuk meneruskan saingan ke pusingan suku akhir terkandas apabila dinafikan skuad The Red Giants di Shah Alam.


TEBUS MARUAH

Meskipun terpaksa beraksi dalam saingan Liga Premier musim depan, skuad kendalian pengendali baharu, Anuar Abu Bakar mula memasang impian untuk kembali menebus maruah dengan menamatkan saingan musim 2015 dengan melakarkan kejayaan cemerlang.

Apa yang pasti kem The Titans kini mula menyusun strategi baharu dan dijadualkan  bakal melakukan rombakan besar-besaran pemain dalam memantapkan lagi pasukan  bagi mengharungi  saingan Liga Premier musim depan.

Walaupun boleh dikatakan masa rehat masih panjang sebelum saingan bermula, namun tempoh lebih tiga bulan itu akan dimanfaatkan sebaik mungkin dalam melakukan persiapan rapid an juga mencari keserasian pemain bersama pasukan.

Nyata khidmat Anuar Abu Bakar yang mula membimbing skuad T-Team ketika mengharungi kempen Piala Malaysia baru-baru ini berkemungkinan besar akan terus diberi tanggungjawab untuk mengemudi pasukan dan mengharapkan bekas pengendali pasukan Selangor PKNS itu mampu mengembalikan maruah kem The Titans musim depan.


INTAI IMPORT

Malah kem The Titans kini sedang mengintai beberapa pemain import yang masih beraksi dalam saingan Piala Malaysia ketika ini untuk menyarung jersi pasukan musim depan dan difahamkan T-Team bakal menggunakan tiga khidmat pemain import musim depan berbanding empat pemain ketika ini.

Hanya khidmat pemain tengah, Leandro Dos Santos dikatakan bakal kekal bersama pasukan musim depan bagi mengisi slot khidmat ‘awang import’ manakala tiga lagi akan ditamatkan kontrak mereka penghujung tahun ini melibatkan Jimmy Mulisa, Goran Subara dan Patrich Wanggai.

Malah secara dasarnya perancang tengah kelahiran Brazil itu telah memberi persetujuan untuk terus kekal bersama pasukan meskipun beraksi dalam Liga Premier musim depan dan kini dalam proses rundingan bagi melanjutkan kontrak sedia ada.


BAKAT MUDA

Selain itu, T-Team juga dikatakan bakal mengangkat hampir sepuluh pemain muda yang beraksi  bersama skuad Piala Presiden ketika ini untuk diketengahkan bakat mereka membantu pasukan dalam menghadapi saingan Liga Premier nanti.

Usaha itu selaras dengan penubuhan asal T-Team dalam mencungkil bakat pemain-pemain muda di negeri ini bukan sahaja buat skuad The Titans malah bakal diserapkan dalam pasukan negeri (Terengganu) sekiranya  mereka benar-benar cemerlang di dalam padang.

Pastinya dengan perancangan yang lebih teliti dalam mencari pemain import dan tempatan, skuad T-Team mampu mengembalikan kegemilangan mereka sebagaimana dilakarkan ketika muncul naib juara dalam aksi Liga Premier pada 2009. - SINAR HARIAN
Share this article :
Share this Article on :
PERINGATAN: SkuadPenyu.Blogspot.Com tidak bertanggungjawab terhadap komentar/pandangan yang diutarakan melalui laman sosial/weblog ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.
Comments
0 Comments
 

web statistics
Sports ExactSeek: Relevant Web Search My Zimbio Top  blogs My Ping in TotalPing.com
© Copyright Skuad Bola Sepak Negeri Terengganu 2013 -2014 | Design by Hamba Allah.