Info Terkini :

T-Team Fokus Mental, Hadapi Piala Malaysia

BERBAKI dua hari menjelang sepak mula kempen Piala Malaysia, pasukan berstatus kelab T-Team kini giat menjalani latihan terakhir sebelum menerima kunjungan naib juara Liga Super,  Selangor pada aksi pembuka tirai di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, Rabu ini.

Lebih menggembirakan apabila kekosongan kerusi ketua jurulatih yang dilepaskan Mohd Azraai Khor Abdullah pada 25 Julai lalu kini mula dipikul bekas Penolong Jurulatih PKNS FC, Anuar Abu Bakar sejak kelmarin.

Biarpun, masa bersama pasukan dilihat sedikit suntuk, namun ia sedikit pun tidak melemahkan semangat buat pengendali baharu kem T-Team itu untuk menyahut cabaran bersama skuad barunya dalam mengharungi saingan Piala Malaysia musim ini.

Sebaliknya, bekas pemain kebangsaan itu  cukup bersemangat dan melaungkan amaran awal mahu mengembalikan The Titans ke landasan terbaik mereka.

Justeru, jurulatih kelahiran Muar, Johor itu tekad untuk memberi penekanan terhadap aspek mental dan taktikal sebagai persiapan terakhir buat anak buahnya dalam mengharungi saingan Piala Malaysia.

Menurutnya, misi utamanya kini adalah untuk memberi memberi motivasi dan latihan taktikal kepada pemainnya bagi memantapkan lagi pasukan.

“Saya akan dekati pemain seperti anak sendiri dengan mengenali satu sama lain. Saya percaya dengan didikan seperti ini, kita bukan sahaja mampu membentuk satu pasukan yang kuat, malah dapat menerapkan kerja berpasukan dengan lebih baik lagi.

“Jadi, motivasi berterusan akan dilakukan kepada pemain untuk menyemarakkan lagi semangat mereka terutamanya dalam mengharungi saingan peringkat kumpulan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas menyaksikan kemenangan pasukan T-Team ketika bertemu Felda United, 3-0 dalam aksi perlawanan persahabatan di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, kelmarin.

Pada pertembungan itu, skuad kendalian Anuar berjaya menguasai babak pertama perlawanan menerusi jaringan pembukaan penyerang import,  Jimmy Mulisa pada minit ke-16 dan mengukuhkan kedudukan untuk gol kedua pada minit ke-34, sebelum pemain muda, Muhamad Sharin Sapien menambah duka pelawat dengan jaring ketiga pasukan lima minit sebelum tamat perlawanan.

Begitu pun perlawanan terpaksa dibatalkan pada babak kedua permainan berikutan hujan lebat sekali gus memberi kemenangan bergaya buat tuan rumah.

Sementara  itu, Anuar ketika ditanya kenapa memilih untuk membimbing T-Team biarpun menyedari pasukan berstatus kelab itu bakal beraksi dalam Liga Perdana musim depan, pengendali berusia 43 berkata, dia terpikat dengan pasukan itu kerana skuad The Titans memiliki ramai pemain berbakat dan cukup profesional dalam menghadapi apa jua rintangan yang melanda.

Katanya, dia melihat pasukan T-Team sangat bersemangat tetapi motivasi masih perlu diberikan kepada pemain selain penekanan latihan taktikal dalam usaha memastikan persefahaman ketika beraksi dapat ditingkatkan.

“Saya akui pada awalnya saya sedikit risau menerima tawaran T-Team, bagaimana saya ketepikan perasaan itu dan bersedia menyahut cabaran ini dengan satu matlamat mengembalikan T-Team yang sebenarnya, " katanya. - Sinar Harian
Share this article :
Share this Article on :
PERINGATAN: SkuadPenyu.Blogspot.Com tidak bertanggungjawab terhadap komentar/pandangan yang diutarakan melalui laman sosial/weblog ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.
Comments
0 Comments
 

web statistics
Sports ExactSeek: Relevant Web Search My Zimbio Top  blogs My Ping in TotalPing.com
© Copyright Skuad Bola Sepak Negeri Terengganu 2013 -2014 | Design by Hamba Allah.