Info Terkini :

Ada Kelemahan Dalam PPBN - Bakri Ibni

KUALA LUMPUR - Belum sampai dua bulan Pelan Pembangunan Bola Sepak Negara (PPBN) dilancarkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak, terdapat kelemahan yang sudah dikenal pasti dalam teknik latihan, selain pelantikan tenaga pengajar yang boleh dipersoalkan.

Bukan mahu mengkritik tanpa fakta kukuh, namun bekas pemain kebangsaan, Bakri Ibni yang mempunyai kelayakan kejurulatihan dari England dan Jerman, di sam­ping lesen A di Malaysia, mahu Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin serta Lim Teong Kim yang dilantik selaku Pengarah Projek PPBN, memperhalusi semula modul bola sepak yang diterapkan kepada pemain.

Asas utama yang dilihat oleh Bakri, pemain bola sepak era 70-an dan 80-an yang mengendalikan Akademi Bola Sepak Tunas Lagenda adalah kekurangan pengalaman tenaga pengajar dan jurulatih, selain tidak menekankan teknik penguasaan bola yang maksimum.

Situasi itu menyebabkan beberapa anak didiknya yang sebelum ini terpilih memasuki PPBN mengambil keputusan menarik diri dan pulang kembali berlatih bersamanya di Akademi Bola Sepak Tunas Lagenda.

"Dalam bola sepak, ketiga-tiga elemen iaitu pemain, jurulatih dan pengajar saling berkait antara satu sama lain, jika salah satu sistem ini tidak berfungsi maka runtuhlah secara keseluruhan.

"Jika pengajar tidak ada ilmu dan pengalaman di peringkat ter­tinggi seperti memegang mana-mana pasukan, apa yang mahu diajarkannya kepada jurulatih-jurulatih kita yang kemudian akan mengajar anak-anak kita di padang.

"Apa yang saya difahamkan inilah yang menjadi masalah di PPBN, saya mengenali kebanyakan jurulatih yang dipilih dan saya tahu sejauh mana keupayaan mereka.

"Maka inilah yang terjadi di Gambang apabila pemain saya disuruh lari..lari...lari...dan lari lagi, mereka hanya pegang bola sebanyak 20 kali dalam satu sesi latihan sedangkan jika mahu seseorang pemain pakar dalam teknik tertentu, anda memerlukan 500 sentuhan bola.

"Teknik apa yang mahu dikuasai oleh seseorang pemain jika berlari semata-mata tidak menyentuh bola, kelayakan yang ada pada jurulatih ini boleh dipersoalkan," katanya ketika ditemui, baru-baru ini.

Apa yang menarik perhatian Bakri, pemainnya yang beraksi di bahagian pertahanan hanya diarah belajar teknik mengeluarkan bola dari kawasan bahaya dan melakukan terjahan ke atas pemain lawan tanpa diberi kebebasan mengawal bola.

"Masalah pemain pertahanan kita sekarang, mereka sering diajar clear (keluarkan bola dari kawasan bahaya) dan tackle (terjahan). Akibatnya pemain tidak ada teknik dalam permainan.

"Kebanyakan pemain saya sebelum ini telah diasuh untuk me­nguasai bola walaupun bermain di bahagian pertahanan namun apabila di sana, mereka akan dimarah jika melakukan sebegitu sebaliknya hanya disuruh clear.

"Kalau tanya orang dahulu yang pernah menyaksikan Chin Aun bermain, adakah dia mengeluarkan bola daripada kawasan bahaya setiap masa?.

"Jika dia mendapat bola pasti akan dikawalnya terlebih dahulu dan melakukan hantaran yang tepat kepada rakan sepasukan,"

katanya lagi.

Sebelum ini, Teong Kim ada memaklumkan semua program yang terkandung dalam projek pembangunan ini sama seperti yang digunakan bola sepak dunia, termasuk Eropah dan kelab gergasi Jerman, Bayern Munich.

Elemen hantaran bola, serangan, bertahan, mengawal bola dan semua yang ada akan diajar kepada pemain. Ia berkaitan teknik dan taktikal dalam sistem permainan.

Sementara itu, Bakri tidak mempertikaikan pelantikan Teong Kim, namun beliau percaya, jika khidmat bekas penolong jurulatih akademi kelab gergasi Jerman, Bayern Munich Bawah 19 tahun itu hanya sekadar untuk menguruskan program, ia adalah satu kerugian besar.

"Kalau panggil Lim atas sebab itu iaitu memastikan ada lokasi, jurulatih dan pemain, saya rasa tidak perlu.

"Bagi saya berdasarkan pengalaman yang ada pada Lim, dia sepatutnya mencurahkan ilmu kepada jurulatih-jurulatih," katanya. - Sumber
Share this article :
Share this Article on :
PERINGATAN: SkuadPenyu.Blogspot.Com tidak bertanggungjawab terhadap komentar/pandangan yang diutarakan melalui laman sosial/weblog ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.
Comments
0 Comments
 

web statistics
Sports ExactSeek: Relevant Web Search My Zimbio Top  blogs My Ping in TotalPing.com
© Copyright Skuad Bola Sepak Negeri Terengganu 2013 -2014 | Design by Hamba Allah.