Info Terkini :

Skuad Penyu Kembali Lega?

TIGA mata penuh yang diraih Terengganu ketika melayan kunjungan Lions XII  Sabtu lalu nyata memberi kelegaan buat skuad Penyu setelah bergelut dengan prestasi tidak menentu sejak saingan pusingan kedua Liga Super kembali bersambung pada 11 April lalu.

Jelas kegusaran penyokong skuad hitam putih itu sedikit terubat apabila skuad kendalian,  Abdul Rahman Ibrahim itu berjaya bangkit mencipta kemenangan selepas lima perlawanan yang berkesudahan dengan dua kekalahan dan tiga keputusan seri sebelum ini.

Begitu pun, kemenangan di laman sendiri tempoh hari masih membimbangkan bekas ketua jurulatih pasukan PKNS FC apabila menyifatkan mutu persembahan yang dipamerkan anak buahnya secara keseluruhannya belum berada pada tahap yang memuaskan.

Suntikan semangat

Menurutnya, walaupun pasukannya bermain  dengan fizikal yang begitu bertenaga sekali sepanjang perlawanan itu, namun dari segi kecantikan dan `intelligent football’ dalam permainan masih gagal dikuasai pemainnya.

Apa yang pasti, kemenangan itu sedikit sebanyak memberi ruang dan suntikan semangat buat skuad Penyu untuk beraksi dengan lebih cemerlang menjelang pertemuan dengan penyandang juara Piala Malaysia musim lalu, Pahang di Stadium Darul Makmur malam ini.

Peluang pasukan Terengganu untuk memperbaiki kedudukan carta liga yang ketika ini menghuni tangga ke empat dengan mengutip 28 mata itu dilihat tidak berdepan dengan sebarang masalah apabila hanya terpisah satu mata dengan Johor (ketiga) dan Pahang (kedua) manakala pendahulu liga, Selangor (34 mata).

Malah lebih meyakinkan apabila  bekas pengendali skuad kebangsaan itu  mengakui gandingan dua penyerang import baharu mereka iaitu Moustapha Dabo dan Javier Andres Estupinan telah memperlihatkan kemampuan masing-masing berbanding dalam perlawanan terdahulu.

Katanya, walaupun  masih belum menyerlah sepenuhnya, namun gandingan dua jentera serangan itu telah menampakkan kehebatannya dan mengharapkan mereka berdua mampu menemui sentuhan jaringan selepas ini.

Kekal momentum

Baginya, baki enam perlawanan sebelum saingan liga melabuhkan tirainya itu perlu dianggap paling penting buat anak buahnya kerana setiap pasukan yang beraksi ketika ini berlumba-lumba untuk memperbaiki kedudukan masing-masing khususnya empat pasukan teratas dan tiga pasukan tercorot.

Justeru, pengendali berusia 68 tahun itu mengharapkan anak buahnya berusaha untuk  mengekalkan momentum kemenangan ketika bertemu Lion XII Sabtu lalu untuk melakukan lebih banyak kejutan sekaligus memperkukuhkan kedudukan liga ketika ini.

“Bagi saya kita tidak perlu mengambil kira persembahan pasukan lain sebaliknya terus memperkuatkan pasukan dan pemain juga hendaklah beri komitmen lebih seratus peratus setiap kali turun berdepan dengan pasukan lawan.

“Macam yang saya cakap sebelum ini dalam enam `game’ terakhir ni. Keputusan-keputusan yang mengejutkan akan berlaku kerana ini merupakan survival pasukan di bawah manakala empat pasukan di atas itu akan  kejar- mengejar untuk menjadi juara.

Jadi, semua pasukan akan bermain `gila- gila’ untuk menang dan begitu juga Terengganu,” katanya. - Sumber
Share this article :
Share this Article on :
PERINGATAN: SkuadPenyu.Blogspot.Com tidak bertanggungjawab terhadap komentar/pandangan yang diutarakan melalui laman sosial/weblog ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.
Comments
0 Comments
 

web statistics
Sports ExactSeek: Relevant Web Search My Zimbio Top  blogs My Ping in TotalPing.com
© Copyright Skuad Bola Sepak Negeri Terengganu 2013 -2014 | Design by Hamba Allah.