Info Terkini :

Skuad Penyu ‘Lemas’ Dilaman Sendiri

Kuala Terengganu: Malang berganda menimpa Terengganu apabila gagal memanfaatkan peluang beraksi di gelanggang sendiri untuk merampas takhta liga akibat diaibkan Sarawak 1-2 pada aksi pertama pusingan kedua saingan Liga Super di Stadium Ismail Nasiruddin Shah, di sini, malam tadi.

Pasukan pelawat terlebih dulu mengejutkan tuan rumah menerusi tandukan pemain sayap kiri, S Chanturu pada minit ke-2 perlawanan hasil hantaran lintang Ryan Griffiths bagi meletakkan skuad Ngap Sayot di depan.

Seminit selepas itu, Chanturu sekali lagi mencemaskan gawang tuan rumah menerusi cubaan cantik dalam kotak penalti, namun rembatannya sedikit tersasar.

Tersentak dengan jaringan awal itu, tuan rumah kemudian melancarkan beberapa serangan balas yang nyaris mengikat kedudukan pada minit ke-10, bagaimanapun cubaan jarak jauh kapten pasukan, Zairo Anuar Zailani gagal menemui pintu gol.

Kerja keras pelawat untuk mengukuhkan kedudukan hadir pada minit ke-22, namun peluang keemasan itu dipersia-siakan benteng pertahanan, Gabor Gyepes apabila sepakannya ditepis keluar Mohd Sharbine Allawee hasil sepakan sudut, Chanturu.

Cubaan berbahaya itu tidak melemahkan semangat tuan rumah dan benteng pertahanan Terengganu Hasmizan Kamaroddin berpeluang merapatkan kedudukan pada minit ke-31 namun dinafikan penjaga gol pelawat, Mohd Fadzley hasil sepakan percuma, Mario Karlovic.

Berselang enam minit selepas itu, Junior Eldstal menghadiahkan jaringan penyamaan buat tuan rumah selepas tertampan bola ke gawang sendiri selepas aksi kelam kabut di depan gol Sarawak hasil sepakan sudut Zairo.

Memasuki babak kedua, corak permainan lebih agresif disajikan kedua-dua pasukan dalam usaha untuk mengukuhkan kedudukan masing-masing dengan tuan rumah terlebih dulu berjaya mencipta beberapa gerakan menarik namun cubaan Nor Farhan Mohamad gagal menemui jaring.

Usaha pelawat yang berhempas pulas untuk berada di depan akhirnya membuahkan hasil apabila ayam tambatan Sarawak, Griffiths menghadiahkan gol kedua Ngap Sayot pada minit ke-74 hasil hantaran cantik pemain gantian, Mazwandi Zekeria.

Terengganu yang cuba bangkit di saat-saat akhir untuk meraih sekurang-kurangnya satu mata di laman sendiri menemui jalan buntu apabila Sarawak terus menggenggam erat tiga mata sehingga tamat perlawanan sekali gus bangkit menebus maruah selepas kecewa di Stadium Negeri, Jumaat lalu. - Sumber
Share this article :
Share this Article on :
PERINGATAN: SkuadPenyu.Blogspot.Com tidak bertanggungjawab terhadap komentar/pandangan yang diutarakan melalui laman sosial/weblog ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.
Comments
0 Comments
 

web statistics
Sports ExactSeek: Relevant Web Search My Zimbio Top  blogs My Ping in TotalPing.com
© Copyright Skuad Bola Sepak Negeri Terengganu 2013 -2014 | Design by Hamba Allah.