Info Terkini :

Kebenaran Berpihak Kepada Kami - Abdul Rashid Jusoh

KETUA Pegawai Eksekutif T-Team, Abdul Rashid Jusoh menyifatkan The Titans membuat keputusan betul apabila menarik diri daripada meneruskan aksi pusingan kedua Piala FA menentang Johor Darul Takzim (Johor DT) di Stadium Tan Sri Hassan Yunos, Larkin pada 1 Februari lalu.

Rasid memberitahu, kebenaran kini berpihak kepada T-Team selepas Jawatankuasa Tatatertib Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) mengenakan hukuman denda RM30,000 kepada Johor DT ekoran insiden 'Terowong Larkin' itu.

Menurut Rasid, keputusan FAM itu juga telah 'membuka mata' ramai pihak bahawa Johor DT bersalah kerana gagal menyediakan kawalan keselamatan mencukupi.

"Jika tanya kepada saya, (FAM) tak payah nak denda (Johor DT) RM30,000... denda RM1 pun sudah cukup.

"Sudah jelas kami tidak bersalah. Kami telah mengemukakan bukti kepada FAM ekoran insiden yang berlaku di Larkin.

"Pemain kami tidak menyerang mana-mana pemain lawan sebaliknya pemain kami sendiri yang diugut. Sudah jelas kami berada di pihak yang benar," kata Rasid ketika dihubungi Kosmo! semalam.

Kelmarin, Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Ahmad Said menempelak keputusan Jawatankuasa Tatatertib FAM yang hanya mengenakan denda RM30,000 kepada Johor DT ekoran insiden 'panas' di Larkin.

Beliau berkata, keputusan itu mengundang kemarahan Terengganu berikutan tiada sebarang pertuduhan dikenakan terhadap individu yang terlibat dalam kes berkenaan yang masih meninggalkan banyak persoalan.

Ketika diminta mengulas kenyataan Ahmad itu, Rasid berkata: "Sudah tentu beliau tidak berpuas hati dengan keputusan yang dibuat Jawatankuasa Tatatertib FAM.

"Namun, secara peribadi saya berpendapat keputusan itu juga adalah tepat bagi membuktikan kami tidak bersalah dalam hal ini (menarik diri daripada meneruskan aksi babak kedua pada pusingan kedua Piala FA).

"Seorang pemain T-Team (Elvado Rodrigues) dan jurulatih kecergasan (Stefano Impagliazzo) telah dikasari ketika mereka menuju ke bilik persalinan selepas tamat aksi babak pertama.

"Disebabkan itu, kami telah membuat laporan polis mengenai insiden yang berlaku di dalam terowong di stadium tersebut," katanya. - Sumber
Share this article :
Share this Article on :
PERINGATAN: SkuadPenyu.Blogspot.Com tidak bertanggungjawab terhadap komentar/pandangan yang diutarakan melalui laman sosial/weblog ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.
Comments
0 Comments
 

web statistics
Sports ExactSeek: Relevant Web Search My Zimbio Top  blogs My Ping in TotalPing.com
© Copyright Skuad Bola Sepak Negeri Terengganu 2013 -2014 | Design by Hamba Allah.