Info Terkini :

T-Team Sudah Serah Laporan Kepada FAM

KUALA TERENGGANU - Pengurusan T-Team telah menghantar laporan perubatan oleh doktor yang memeriksa pemain, Evaldo Goncalves dan jurulatih kecergasan pasukan, Stefano Impagliazzo buat kali kedua kepada Jawatankuasa Tatatertib Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM).

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Ab. Rasid Jusoh bagaimanapun tidak mahu mengandaikan sama ada surat itu itu sepatutnya sudah diterima semula oleh FAM bagi membolehkan Jawatankuasa Tatatertib memulakan langkah awal. ''Rasanya kali ini jelas. Jika tidak sampai, kita akan hantar semula," ujarnya.

Beliau yang enggan mengulas lanjut mengenai soal itu tidak mendedahkan bila laporan itu dihantar, sama ada secara pos atau dikemukakan sendiri oleh wakil T-Team.

"Apa yang saya boleh katakan, apa yang dilaporkan (Utusan Malaysia) betul. Memang kita ada hantar balik (laporan perubatan) kepada FAM.
"Tentang doktor saya tak nak ulaslah. Kita serah kepada FAM untuk membuat keputusan.

"Buat masa ini, kita akan tunggu dan lihat macam mana (keputusan FAM). Apa yang penting ialah, masalah ini tidak lagi berlarutan," katanya ketika dihubungi di sini semalam.

Utusan Malaysia kelmarin melaporkan, surat pertuduhan kepada pemimpin tertinggi Persatuan Bolasepak Negeri Johor (PBNJ) yang didakwa terlibat dalam kekecohan di Larkin ketika perlawanan Piala FA awal bulan ini lewat dikeluarkan gara-gara tulisan doktor yang kurang difahami.

Menurut sumber, Jawatankuasa Tatatertib FAM terpaksa meminta pengurusan T-Team menghantar laporan perubatan doktor yang memeriksa Goncalves dan Impagliazzo sekali lagi, kali ini secara bertaip dan bukannya bertulis tangan. - Sumber


KUALA LUMPUR - Gara-gara tulisan doktor yang kurang difahami telah menyebabkan surat pertuduhan kepada pemimpin tinggi Persatuan Bolasepak Negeri Johor (PBNJ), yang didakwa terlibat dalam kekecohan di Larkin ketika perlawanan Piala FA awal bulan ini lewat daripada dikeluarkan.

Menurut sumber, Jawatankuasa Tatatertib Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) terpaksa meminta pengurusan T-Team menghantar laporan perubatan doktor yang memeriksa pemainnya, Evaldo Goncalves dan jurulatih kecergasan pasukan, Stefano Impagliazzo sekali lagi, kali ini secara bertaip dan bukannya tulis tangan.
Goncalves dan Impagliazzo telah membuat laporan polis, bahawa mereka dikasari oleh pemimpin tinggi PBNJ di dalam terowong ketika menuju ke bilik persalinan pemain sewaktu pertemuan T-Team dengan Johor Darul Ta'zim dalam pusingan kedua Piala FA berhenti rehat. Mereka turut mendapatkan pemeriksaan doktor.

Namun, selepas sepuluh hari semenjak FAM meminta laporan perubatan berkenaan, T-Team masih belum memberikan maklum balas yang menyebabkan masih tiada sebarang dakwaan dapat dilakukan ke atas pengawai tinggi PBNJ itu.

Sumber itu memberitahu, laporan doktor berkenaan cukup penting buat Jawatankuasa Tatatertib kerana laporan itu boleh menentukan Kod Tatatertib bersesuaian yang akan digunakan untuk mendakwa pemimpin tinggi PBNJ itu.

"Mengenai surat pertuduhan (ke atas pemimpin PBNJ terlibat), saya difahamkan sudah hampir siap dan telah mendapat maklum balas daripada Setiausaha Agung FAM, Datuk Hamidin (Mohd. Amin) serta Pengerusi Jawatankuasa Tatatertib (Datuk Taufek Abdul Razak), cuma laporan doktor yang memeriksa Evaldo dan Stefano yang melambatkan.

"Tulisan tangan doktor berkenaan sukar difahami, jadi sukar untuk menentukan pertuduhan itu dikeluarkan di bawah akta yang mana.

"Saya difahamkan Jawatankuasa Tatatertib telah meminta T-Team agar mendapatkan laporan doktor secara menaip. Ini adalah satu amalan biasa jika di dalam mahkamah sekali pun, tetapi masalahnya pihak T-Team sehingga hari ini belum menghantar laporan yang diminta, itu sebab kes ini lambat dibicarakan," kata sumber itu ketika ditemui Mingguan Malaysia.

Berdasarkan Kod Tatatertib yang termaktub, individu yang menyerang Evaldo atau Stefano boleh didakwa di bawah tiga pertuduhan berbeza iaitu Perkara 2.4, iaitu melakukan serangan secara fizikal tetapi tidak memberikan sebarang kecederaan.

Dua lagi pertuduhan ialah di bawah Perkara 2.5 iaitu melakukan serangan secara fizikal serta mendatangkan kecederaan atau Perkara 2.6 iaitu melakukan serangan secara fizikal dan membuatkan mangsa mendapat kecederaan parah.

Selain itu, sumber berkenaan memberitahu pihak PBNJ juga akan dikeluarkan surat pertuduhan atas kegagalannya mengawal keamanan semasa pemain T-Team menuju bilik persalinan.

"Mengenai kawalan keselamatan secara keseluruhan, dijangka satu lagi surat pertuduhan akan dikeluarkan kepada PBNJ kerana tidak mampu menghalang kekecohan daripada berlaku," katanya.

Sebelum ini, Hamidin memberitahu wartawan pada Selasa lalu yang surat pertuduhan mengenai insiden Evaldo ditumbuk dan Stefano ditendang di bahagian kemaluan ketika menuju bilik persalinan pemain di Stadium Tan Sri Haji Hassan Yunos hampir pasti akan dikeluarkan.

Perlawanan pusingan kedua Piala FA pada 1 Februari itu tidak dapat disambung untuk babak kedua apabila pemain T-Team enggan meneruskan permainan ekoran insiden berkenaan, sebelum Jawatankuasa Pertandingan Tempatan (JKPT) memutuskan untuk memberikan kemenangan 3-0 buat skuad Harimau Selatan.

Selain itu, isu pergaduhan penyokong yang membabitkan Pahang dan JDT di perkarangan Stadium Darul Makmur, Kuantan pada 7 Februari dan kereta pengurus pasukan Perak dipecahkan di Larkin, juga akan disiasat oleh Jawatankuasa Tatatertib. - Sumber
Share this article :
Share this Article on :
PERINGATAN: SkuadPenyu.Blogspot.Com tidak bertanggungjawab terhadap komentar/pandangan yang diutarakan melalui laman sosial/weblog ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.
Comments
0 Comments
 

web statistics
Sports ExactSeek: Relevant Web Search My Zimbio Top  blogs My Ping in TotalPing.com
© Copyright Skuad Bola Sepak Negeri Terengganu 2013 -2014 | Design by Hamba Allah.