Info Terkini :

Kami Berhak Tarik Diri Demi Keselamatan


"BOLEH tahan (kecederaan) hidung yang dialami pemain saya." Demikian respons pengurus T-Team, Rozi Mamat ketika ditanya mengenai keadaan pemain import Brazil, Elvado Rodrigues yang didakwa dikasari dalam terowong menuju ke bilik persalinan pemain pada aksi pusingan kedua Piala FA menentang Johor Darul Takzim (JDT) di Stadium Tan Sri Hassan Yunos, Larkin, Johor Bahru malam kelmarin.

Pada perlawanan tersebut, The Titans mengambil keputusan untuk tidak meneruskan aksi separuh masa kedua ketika menentang JDT yang menyaksikan tuan rumah mendahului 2-1.

Keputusan tersebut dibuat atas faktor keselamatan kerana T-Team menganggap kawalan keselamatan mula tergugat selepas Rodrigues dan jurulatih kecergasan pasukan, Stefano Impagliazzo dikasari ketika menuju ke bilik persalinan.




Mengulas lanjut, Rozi yang juga Exco Belia dan Sukan Terengganu memberitahu, pihaknya berhak untuk tidak meneruskan perlawanan tersebut atas faktor keselamatan.

"Sejujurnya, saya tidak berada di Larkin pada aksi semalam (kelmarin). Saya hanya dimaklumkan oleh pegawai T-Team bahawa berlaku kekecohan di sana (Larkin).

"Saya berpendapat, kami berhak untuk tidak meneruskan perlawanan separuh masa kedua itu atas faktor keselamatan pemain. Adalah wajar kami tidak menyambung aksi separuh masa kedua itu.

"Mengenai laporan polis, saya rasa tidak perlu kerana kami akan menyerahkan perkara ini kepada Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM).

"Cuma, saya sedikit kesal kerana kami sentiasa memberikan layanan dan keselamatan yang terbaik kepada pasukan pelawat ketika bertandang ke Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah di Kuala Terengganu," katanya ketika dihubungi Kosmo! semalam.

"Selain FAM, kami turut menyerahkan perkara ini kepada Persatuan Bola Sepak Negeri Terengganu memandangkan T-Team adalah di bawah naungan persatuan negeri.

"Sama ada ada tindakan susulan akan berlaku nanti, saya rasa adalah lebih baik soalan ini diajukan kepada Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Said selaku penasihat kedua-dua pasukan ini sebaik pulang dari Antartika pada Selasa ini," katanya.

Dalam perkembangan sama, Setiausaha Agung FAM, Datuk Hamidin Mohd. Amin menegaskan, mana-mana pegawai yang didapati bersalah dalam insiden tersebut bakal berdepan dengan tindakan tegas.

"Jika ada pegawai atau pemain yang melanggari peraturan pertandingan akan dibawa ke Jawatankuasa Tatatertib FAM untuk tindakan lanjut," katanya. - Sumber
Share this article :
Share this Article on :
PERINGATAN: SkuadPenyu.Blogspot.Com tidak bertanggungjawab terhadap komentar/pandangan yang diutarakan melalui laman sosial/weblog ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.
Comments
0 Comments
 

web statistics
Sports ExactSeek: Relevant Web Search My Zimbio Top  blogs My Ping in TotalPing.com
© Copyright Skuad Bola Sepak Negeri Terengganu 2013 -2014 | Design by Hamba Allah.