Sikap positif pemain antara faktor membuatkan jurulatih T-Team Mohd Azraai Khor Abdullah yakin pasukan itu mampu membentuk keserasian terbaik sekali gus menghulur cabaran lebih bermakna musim depan.
Jurulatih berusia 61 tahun itu yang menjadi jurulatih skuad T-Team musim ini menyifatkan pasukan pantai timur itu tidak banyak berbeza dengan beberapa pasukan negeri yang pernah dikendalikannya.
Azraai pernah membawa Kedah bergelar juara berganda sebanyak dua kali selain membimbing Negeri Sembilan muncul juara Piala Malaysia sebelum ini.
“Pendekatan bola sepak mementingkan sikap dan semangat berpasukan. Dua aspek ini jika dipandang sambil lewa, pasukan tidak dapat memberikan persembahan terbaik dalam saingan Liga Super nanti.
“Setakat ini, saya gembira dengan komitmen, kerjasama dan usaha pemain meskipun saya terpaksa menerima hakikat tidak mendapat beberapa pemain untuk memantapkan jentera serangan. Jadi, kami akan membentuk dan beraksi dengan pasukan sedia ada yang saya anggap potensi mereka belum dieksploitasi sepenuhnya dan saya yakin akan ada peningkatan selepas ini,” katanya.
“T-Team baru kembali empat hari lalu selepas mengadakan tiga perlawanan persahabatan sebagai persiapan menghadapi cabaran Liga Super musim 2014.
“Kami seri 1-1 dengan pasukan Songkhla United, tewas 0-1 kepada Kedah dan seri 1-1 dengan Perlis dalam perlawanan di padang Universiti Utara Malaysia (UUM) dan T-Team akan berdepan Sime Darby pada perlawanan persiapan terakhir di Stadium Selayang pada 9 Januari.
“Kami juga baru mendapatkan seorang jurulatih kecergasan dari Brazil dan beliau pernah membimbing beberapa kelab yang ada antaranya bergelar juara Liga Thailand,” katanya.
Ditanya perbezaan mengendali skuad bergelar kelab berbanding negeri, jurulatih itu yang mengikat kontrak dua tahun bersama T-Team berkata: “Tiada perbezaan ketara mengendali skuad negeri dan kelab. Paling penting buat pemain bersemangat dan tidak cepat mengalah.
“Pengurusan pasukan ini (T-Team) sangat bagus dan memudahkan saya bekerja dengan mereka. Saya lega kerana ada lima penyerang saya termasuk dua pemain import boleh diharapkan untuk merobek gawang lawan.” T-Team akan memulakan kempen Liga Super berdepan Selangor pada 18 Januari di Stadium Shah Alam. - Sumber