Kelana Jaya: “Saya percaya sesiapa saja yang menjadi jurulatih skuad kebangsaan pasti mahu mencapai kejayaan lebih baik,” kata jurulatih sementara skuad kebangsaan Datuk Ong Kim Swee.
Jelas apa yang disuarakan oleh pengendali itu menggambarkan beliau cukup bersemangat untuk membaiki prestasi skuad Harimau Malaya sekali gus menyahut cabaran ketua jurulatih Datuk K Rajagobal yang akan melepaskan jawatan apabila kontraknya berakhir 31 Disember ini.
Rajagobal dalam sidang media terakhir kelmarin melahirkan harapan untuk melihat penggantinya mampu membimbing skuad kebangsaan ke tahap lebih tinggi dan mengatasi pencapaiannya yang memenangi pingat emas Sukan SEA Laos 2009 dan Piala AFF 2010.
Bagi Kim Swee yang juga jurulatih skuad bawah 23 tahun negara (B-23), beliau tidak menganggap apa yang dinyatakan oleh rakan sejawatnya itu ditujukan kepadanya memandangkan beliau hanya jurulatih sementara hingga Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) mendapatkan pengganti untuk mengisi ‘kerusi panas’ itu.
Malah beliau lebih berminat untuk memberi fokus kepada KPI (Indeks Petunjuk Prestasi) mempertahankan pingat emas Sukan SEA Myanmar bulan ini berbanding tugasan barunya bersama skuad senior.
“Saya hanya dilantik sebagai jurulatih sementara. Saya tidak berpendapat kenyataan itu merujuk kepada saya. Kami memahami tugas masing-masing dan kenyataan itu bagi saya terlalu umum. Apa yang paling mustahak buat masa ini adalah memberi tumpuan kepada tugasan di Sukan SEA.
“Selepas Sukan SEA, barulah saya akan memberi perhatian kepada Harimau Malaya itupun jika FAM masih belum menemui calon jurulatih tetap,” kata Kim Swee.
FAM sebelum ini membuat keputusan tidak melanjutkan kontrak Rajagobal yang bersama skuad kebangsaan sejak 2009 dan melantik Kim Swee sebagai pengganti sementara mereka mencari jurulatih baru dari luar negara seperti yang dilaporkan sebelum ini.
Sekiranya badan induk itu gagal mencari jurulatih baru sebelum aksi dengan Yaman pada Mac depan, Kim Swee yang membimbing skuad B-23 memenangi pingat emas Sukan SEA 2011 dijangka membimbing skuad kebangsaan bagi tugasan terakhir kempen kelayakan Piala Asia itu. - Sumber