Kuala Terengganu: Pertembungan musuh tradisi antara Terengganu dan Kelantan yang dijadualkan berlangsung malam nanti di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah terpaksa dibatalkan berikutan beberapa masalah yang tidak dapat dielakkan.
Timbalan Presiden Persatuan Bola Sepak Negeri Terengganu (PBSNT), Marzuki Sulong berkata, perlawanan itu terpaksa dibatalkan atas permintaan skuad The Red Warriors yang dikatakan kekurangan pemain akibat kecederaan ketika mengharungi beberapa perlawanan persahabatan sebelum ini.
Bagaimanapun, Marzuki yang juga Pengurus Pasukan Terengganu berkata, sesi perlawanan pra musim itu tetap diteruskan dan pasukan Kelantan berjanji akan memberikan satu tarikh yang akan dimaklumkan kemudian.
"Kelantan yang minta perlawanan ini ditunda kerana pemain mereka mengalami masalah kecederaan," katanya ketika dihubungi disini semalam.
Dalam pada itu, Marzuki berkata, pasukan kendalian Abdul Rahman Ibrahim akan mengadakan empat lagi siri perlawanan pra musim bersama beberapa pasukan kelab di Indonesia.
Katanya, Skuad Penyu akan memulakan saingan di Indonesia menentang kelab Madura pada 24 Disember diikuti Arema Malang (26 Disember), Persik Kediri (28 Disember) dan Gersik (30 Disember).
"Sebaik pulang dari Indonesia, Terengganu bakal meneruskan perlawnan persahabatan bersama skuad Harimau Muda pada 6 Januari di Kuala Terengganu dan Pahang pada 11 Januari di Stadium Darul Makmur, Kuantan,"katanya.