Info Terkini :

FAM Mahu Berdamai Dengan Khairy Jamaluddin

PETALING JAYA: Salam perdamaian bagai dihulur oleh Setiausaha Agung Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Datuk Hamidin Mohd. Amin yang tidak berminat meneruskan drama sengketa antara badan induk bola sepak negara itu dengan Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin.

Menjelaskan beliau bersedia mengadakan pertemuan dengan Khairy secepat mungkin, Hamidin menghargai pandangan yang dilontarkan pelbagai pihak yang cintakan sukan bola sepak.

Beliau juga secara dasarnya mengakui bersetuju dengan sebahagian yang diperkatakan oleh Khairy iaitu perlu ada perubahan pada FAM dalam menangani isu-isu berkaitan bola sepak kerana zaman yang semakin berubah selain minat yang tinggi ditunjukkan oleh golongan muda.

''Semua masalah boleh diselesaikan dan ada beberapa perkara yang dilaporkan oleh pihak media saya lihat telah disalah tafsir selain pihak-pihak yang berminat terhadap masalah ini.

''Saya bersedia untuk mengadakan pertemuan dengan Menteri Belia dan Sukan dalam masa terdekat dan akan menghantar surat untuk bincang beberapa perkara terutama membabitkan pembangunan bola sepak negara," katanya yang ditemui pada majlis pelancaran Mencari Ramli 3 (MR3) di Wisma FAM dekat Kelana Jaya, semalam.

Tambah Hamidin, beliau peka terhadap perlu ada perubahan dalam isu penjualan tiket misalnya dan bersetuju dengan apa yang diperkatakan oleh Khairy dalam soal berkenaan.

Malah, beliau akan membawa perkara itu untuk dibincangkan dengan Pengerusi Jawatankuasa Tiket dan Pintu FAM, Datuk S. Sivasundram bagi mendapatkan jalan penyelesaian.

''Ada beberapa perkara saya setuju dengan Khairy bahawa di pihak FAM perlu berubah kerana permintaan daripada penyokong-penyokong terutama daripada golongan muda begitu tinggi.

''Bola sepak bukan lagi seperti mana 20 tahun lalu, bukan sahaja daripada permainan tetapi kita perlu pantas menangani isu seperti mana yang isu penjualan tiket yang saya perkatakan sebelum ini.

''Jika dulu walaupun kapasiti stadium penuh di Stadium Merdeka serta kemungkinan ada tiket palsu, sekarang perkara itu sudah berubah kerana permintaan pasti melebihi 300 peratus ke 400 peratus daripada jumlah tiket yang diperuntukkan pada aksi separuh akhir dan perlawanan akhir.

''Saya ambil contoh semasa perlawanan akhir antara Johor Darul Takzim (Johor DT) dan Kelantan pada perlawanan akhir Piala FA atau perlawanan akhir Piala Malaysia antara Pahang dan Kelantan, kita menerima permohonan sebanyak ini."

Khairy sebelum ini lantang mengkritik FAM sambil menyatakan beliau sudah bosan dengan FAM kerana tidak boleh menerima teguran daripada mana-mana pihak.

Apa yang diperkatakan Khairy itu mendapat maklum balas daripada bekas pemain kebangsaan, Datuk Jamal Nasir, yang menyifatkan tindakan Menteri itu bagai melepaskan geram kepada individu tertentu dalam FAM.

Yang terbaharu, Presiden Persatuan Bola Sepak Negeri Johor (PBNJ), Tunku Ismail Sultan Ibrahim, menyatakan sokongan kepada Khairy dalam kritikannya kepada FAM sambil menganggap teguran yang dibuat adalah dengan niat mahu memajukan sukan bola sepak tanah air. - Sumber
Share this article :
Share this Article on :
PERINGATAN: SkuadPenyu.Blogspot.Com tidak bertanggungjawab terhadap komentar/pandangan yang diutarakan melalui laman sosial/weblog ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.
Comments
0 Comments
 

web statistics
Sports ExactSeek: Relevant Web Search My Zimbio Top  blogs My Ping in TotalPing.com
© Copyright Skuad Bola Sepak Negeri Terengganu 2013 -2014 | Design by Hamba Allah.