Info Terkini :

T-Team Belum Jumpa Pengendali Sebenar

Kuala Terengganu: Pasukan T-Team masih tercari-cari calon ketua jurulatih yang sesuai untuk mengemudi pasukan itu pada saingan Liga Malaysia (Liga M) musim depan.

Difahamkan, hingga kini terdapat tiga calon ketua jurulatih berunding dengan pengurusan T-Team dengan dua daripadanya dari luar negara dan seorang jurulatih tempatan.

Pada musim ini, pasukan yang mendapat jolokan The Titans itu tiga kali bertukar jurulatih membabitkan Peter Butler, Eduardo Almeida dan Che Ku Mohd Marzuki Che Ku Mohd Nor.

Selain itu, pasukan berkenaan turut melantik pengulas sukan Astro Arena yang juga bekas pemain bola sepak negeri ini, Azlan Johar pada kempen Piala Malaysia tapi menamatkan saingan di peringkat kumpulan.

Ahli Lembaga Pengarah T-Team Datuk Wan Ahmad Nizam Wan Abdul Hamid berkata, mulai musim depan T-Team akan mendapat ketua jurulatih baru sama seperti pasukan ‘abang’, Terengganu.

Bagaimanapun, pihaknya hingga kini belum membuat keputusan siapa yang bakal membimbing pasukan itu walaupun tiga calon jurulatih sudah dikenal pasti.

“Kita belum dapat dedahkan lagi siapa ketua jurulatih dan pemain yang akan beraksi bersama pasukan ini musim depan. Apa yang boleh kita katakan, T-Team dan Terengganu akan mendapat jurulatih baru.

“Selain itu, mulai musim depan, kita mahu selaraskan kedua-dua pasukan ini. Saya juga menjadi penolong pengurus kepada T-Team dan Terengganu,” katanya.

Beliau yang juga Presiden Persatuan Bola Sepak Negeri Terengganu (PBSNT) yakin akan memilih pengendali dan pemain terbaik buat pasukan itu musim depan.

“Senarai penuh ketua jurulatih baru dan pemain musim depan akan diumum selepas tamat Piala Malaysia serentak dengan pasukan Terengganu,” katanya.

T-Team turut dilapor melakukan rombakan besar-besaran apabila mengekalkan hanya 10 pemain selain tidak menyambung kontrak dua awang import, George Boeteng dan Damir Ibric. - Sumber
Share this article :
Share this Article on :
PERINGATAN: SkuadPenyu.Blogspot.Com tidak bertanggungjawab terhadap komentar/pandangan yang diutarakan melalui laman sosial/weblog ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.
Comments
0 Comments
 

web statistics
Sports ExactSeek: Relevant Web Search My Zimbio Top  blogs My Ping in TotalPing.com
© Copyright Skuad Bola Sepak Negeri Terengganu 2013 -2014 | Design by Hamba Allah.