Info Terkini :

Kudrat Vincent Bikana Aset Skuad Penyu

KELEBIHAN dimiliki Vincent Bikana dalam mempertahankan benteng pertahanan daripada dibolosi  sememangnya diakui sejak pemain kelahiran Cameroon itu mula menyarung jersi Terengganu musim lalu.

Malah susuk fizikal dan larian pantas dimiliki pemain berusia 22 itu sering menjadi aset berguna buat kem Terengganu setiap kali turun mematahkan serangan pasukan lawan, malah menerusi  40 aksi penampilannya  membantu skuad Penyu sepanjang kempen Liga Malaysia musim lalu, dia turut berpeluang menjaringkan dua gol buat pasukan.


PALING AWAL

Berdasarkan rekod dan prestasi cemerlang itu, pengurusan Persatuan Bola Sepak  Negeri Terengganu (PBSNT) enggan melepaskan ‘kereta kebal’ pasukan ke tangan orang lain dengan melanjutkan kontrak bekas benteng pertahanan skuad kebangsaan Cameroon itu sehingga 2016 biarpun perjanjiannya masih berbaki sehingga penghujung musim ini.

Keputusan tepat itu sekali gus menjadikan Bikana sebagai pemain pertama skuad Penyu yang selamat daripada disingkirkan sebelum saingan Piala Malaysia musim ini menutup tirainya berbanding tiga lagi awang import dan pemain tempatan pasukan Terengganu lain.


TETAP SAMA

Manakala khidmat dua  jentera serangan import, Moustapha Dabo dan Javier Estupinan terus disingkirkan daripada mengalas cabaran selaku peledak kem Terengganu sehingga tamat saingan Piala Malaysia apabila prestasi kedua-dua pemain itu gagal memiliki  standard yang ditetapkan  ketua jurulatih, Abdul Rahman Ibrahim.

Dua penyerang itu mula menyertai skuad  Penyu bagi menggantikan Marcio Souza (Brazil) dan Mamadou Hardy Barry yang ditamatkan kontrak menjelang pintu perpindahan pemain Liga Malaysia (Liga M) kedua dibuka pada April lalu, namun mereka gagal membantu Terengganu untuk meraih kedudukan terbaik dalam aksi Liga Super dan juga Piala FA musim ini.


MASIH SELAMAT

Justeru, tindakan diambil bekas pengendali skuad kebangsaan itu menggantikan dua peledak import dengan penyerang tempatan dilihat tepat pada masanya apabila Terengganu berjaya muncul selaku naib juara kumpulan B dan mara ke pusingan suku akhir yang dijadualkan bersambung awal bulan depan.

Begitu pun khidmat seorang lagi pemain import, Mario Karlovic yang mengemudi jentera tengah dilihat masih lagi selamat bersama skuad Penyu apabila pemain kelahiran Australia itu tidak pernah mengecewakan dan turut membantu Terengganu dengan menjaringkan dua gol sepanjang saingan peringkat Kumpulan B Piala Malaysia kali ini.


TAGIH MAGIS

Apa yang pasti, kem Terengganu sekali lagi menagih ‘magis’ pengendali berpengalaman, Abdul Rahman dalam merencanakan strategi terbaik dengan barisan pemain berpengalaman untuk merealisasikan impian membawa pulang piala  berprestij itu ke bumi Darul Iman selepas kali terakhir dijulang pada 2001.

Meskipun mengakui bakal berdepan tugas getir bertemu juara Liga Super musim ini, Johor Darul Ta'zim (JDT) pada aksi suku akhir nanti, namun pengendali berusia 68 tahun itu bakal memanfaatkan tempoh sebulan itu untuk memperkuatkan pasukannya dalam meraih dua kemenangan pada perlawanan penting terbabit. - SINAR HARIAN
Share this article :
Share this Article on :
PERINGATAN: SkuadPenyu.Blogspot.Com tidak bertanggungjawab terhadap komentar/pandangan yang diutarakan melalui laman sosial/weblog ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.
Comments
0 Comments
 

web statistics
Sports ExactSeek: Relevant Web Search My Zimbio Top  blogs My Ping in TotalPing.com
© Copyright Skuad Bola Sepak Negeri Terengganu 2013 -2014 | Design by Hamba Allah.