Info Terkini :

Penat Punca Pemain Hilang Fokus - Abdul Rahman

KUALA TERENGGANU - Faktor kepenatan kerana terpaksa beraksi dalam jadual liga yang padat menyebabkan pemain Terengganu kerap hilang fokus sehingga mengganggu rentak permainan pasukan secara keseluruhannya.

Itu penjelasan ketua jurulatih, Abdul Rahman Ibrahim ketika menyaksikan pasukan bimbingannya itu sekali lagi mensia-siakan kelebihan gol awal ketika diikat ATM 1-1 dalam perlawanan Liga Super di laman sendiri kelmarin.

Menurut Abdul Rahman, situasi yang sama sebenarnya turut menghantui ATM sekali gus menjadikan perlawanan tersebut kurang bertenaga secara keseluruhannya.

"Kalau kita lihat malam ini (kelmarin), kedua-dua pasukan macam ‘penat’ lawan ‘penat’ dan permainan juga kurang menarik. Bagaimanapun, saya lihat pemain kami sedikit meningkat berbanding ketika bertemu Sime Darby sebelum ini di mana menampakkan mereka begitu untuk meraih kemenangan.

"Tapi, itulah...faktor kepenatan pemain membuktikan bahawa mereka juga tidak mampu untuk bermain dengan baik terutamanya untuk membawa bola ke dalam kotak penalti. Inilah kenyataan yang kita harus terima dengan jadual perlawanan yang padat.

"Namun, menjelang perlawanan terakhir bertemu Kelantan selepas ini, kami masih ada empat hari untuk memperbaiki setiap kelemahan yang ada. Walaupun kami gagal meraih kemenangan, kami kena terima hakikat bahawa kepenatan itu yang menjadi faktor utama di mana dalam masa 14 hari kami kena bermain dalam lima perlawanan," katanya.

Jelas Abdul Rahman, jadual perlawanan yang ketat secara tidak langsung menyebabkan kualiti bola sepak negara turut terkena tempiasnya kerana para pemain gagal mempamerkan aksi terbaik mereka di tengah padang akibat kepenatan.

Dalam pada itu, pengendali ATM, B. Sathianathan berpuas hati dengan persembahan anak-anak buahnya walaupun mengakui terpaksa menyesuaikan diri dengan jadual perlawanan liga yang agak padat.

Pada masa yang sama, beliau turut memuji aksi cemerlang penyerang kelahiran Haiti, Fabrice Noel yang menjaringkan gol penyamaan sekali gus membuktikan bahawa pemain itu kini tidak lagi dibayangi oleh ayam tambatan ATM sebelum ini iaitu Marlon Alex James.

"Kita lihat Fabrice telah menemui rentak sebenarnya bersama pasukan dan kami berharap dia akan terus mengekalkan sentuhan jaringan dalam perlawanan terakhir nanti," katanya yang turut mengkritik kualiti padang di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah yang disifatkannya teruk sehingga mengganggu rentak permainan kedua-dua pasukan.- Sumber
Share this article :
Share this Article on :
PERINGATAN: SkuadPenyu.Blogspot.Com tidak bertanggungjawab terhadap komentar/pandangan yang diutarakan melalui laman sosial/weblog ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.
Comments
0 Comments
 

web statistics
Sports ExactSeek: Relevant Web Search My Zimbio Top  blogs My Ping in TotalPing.com
© Copyright Skuad Bola Sepak Negeri Terengganu 2013 -2014 | Design by Hamba Allah.